Berita

Projek RM5.4 juta selenggara jalan dan longkang di Gemas siap

GEMAS: Projek menyelenggara jalan dan longkang di Kawasan Industri Berat Sungai Gemas di Kampung Tiong, di sini telah siap sepenuhnya.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, projek yang bernilai RM5.4 juta ini telah bermula pada 14 Ogos 2019 dan siap sepenuhnya pada 4 September 2020; manakala jalan tersebut dibuka secara rasmi pada 6 Oktober 2020.

“Projek ini telah berjaya disiapkan lebih awal daripada tarikh yang dijangka iaitu 11 September 2020.

“Antara kerja yang dibuat ialah memperbaharui muka jalan seluas 32,000 meter persegi, pembinaan longkang sepanjang 5000 meter serta pemasangan box culvert di lima lokasi.

“Tahniah saya ucapkan kepada Jabatan Kerja Raya Negeri Sembilan serta pihak kontraktor atas pencapaian menyiapkan projek lebih awal,” kata Aminuddin di majlis penyerahan projek tersebut.

Aminuddin berkata, projek ini adalah salah satu inisiatif Kerajaan Negeri dalam memastikan kawasan perindustrian di Negeri Sembilan terus berkembang agar pelabur memilih negeri ini untuk menjalankan perniagaan.

“Penambahbaikan ini telah berjaya menarik satu syarikat tempatan untuk melabur di kawasan ini.

“Sekiranya perancangan tersebut berhasil, pelaburan tersebut akan membuka 3,000 peluang pekerjaan dan industri sokongan yang sudah semestinya akan memberi manfaat kepada masyarakat sekitarnya,” ujar Aminuddin.

Turut hadir Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan merangkap ADUN Repah, YB S.Veerapan; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Dr.Razali Ab Malik; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Mohd Khidir Majid; Penyelaras DUN Gemas, Puan Rusnani Saring dan Pengarah JKR Negeri Sembilan, YBrs Ir.Masri Baharuddin,

 

Show More

Related Articles

Back to top button