Berita

Projek ternakan ikan jade perch di Jelebu

SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan (Pemerbadanan) (MBINS) bersetuju melaksanakan projek penternakan ikan jade perch dengan pelaburan RM1 bilion di tanah seluas kira-kira 22.26 hektar di Kampung Jelondong, Mukim Glami Lemi, Jelebu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, projek usahasama dengan syarikat Narque N9 Aquaculture Sdn Bhd (NNASB) akan bermula bulan depan dan dijangka siap pada penghujung Mac 2022.

“Projek usahasama ini bakal menjadikan pusat ternakan ikan jade perch yang terbesar di Asia Tenggara untuk tempoh 15 tahun.

“Projek ini turut berjaya menarik minat beberapa individu berpengaruh dari luar negara yang akan turut terlibat dalam membantu meningkatkan mutu penternakan bagi mencapai standard piawaian pensijilan,” kata Aminuddin selepas muktamadkan Perjanjian Usahasama di antara MBINS dengan Narque N9 Aquaculture Sdn Bhd di Wisma Negeri pada Rabu.

Ikan jade perch mengandungi kadar Omega-3 tinggi

Aminuddin berkata, pelaksanaan projek ini juga dilihat mampu memberi impak kepada aktiviti ekonomi penduduk setempat serta rakyat Negeri Sembilan melalui penyediaan peluang pekerjaan berkaitan industri akuakultur serta penglibatan di dalam pelbagai aktiviti perniagaan di sepanjang rantaian nilai.

“Selain itu, ianya turut akan menjadi salah satu lokasi kajian serta pengajaran bagi para pelajar serta pihak yang berminat untuk menceburi industri ternakan ikan jade perch.

“Ikan jade perch atau nama asalnya Barcoo Grunter berasal dari Queensland, Australia. Kajian yang telah dilaksanakan oleh The Commonwealth Scientific and Industrial Research Organisation (CSIRO) Australia telah membuktikan bahawa ikan jade perch mengandungi kadar Omega-3 yang tertinggi berbanding dengan makanan laut yang lain.

“Selain itu, kajian dilaksanakan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) membuktikan bahawa ikan itu telah diternak oleh syarikat NNASB di Negeri Sembilan mengandungi kadar Omega-3 sebanyak enam peratus lebih tinggi daripada jenis ikan sama diternak di negara asalnya,” katanya.

Beliau berkata projek ini melibatkan kerjasama dengan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan yang berkaitan termasuk UKM yang merupakan salah satu universiti awam menyatakan persetujuan untuk menjalankan kajian dan pembangunan (R&D) bagi industri ini.

Show More

Related Articles

Back to top button