Berita

Pusat Pemberian Vaksin Mega USIM dibuka hari ini

SEREMBAN: Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai, beroperasi bermula hari ini.

Exco Kesihatan Negeri Sembilan, YB Veerapan Superamaniam berkata, untuk peringkat awal, PPV Mega ini mampu menampung kapasiti 1,500 individu untuk menerima suntikan vaksin dalam sehari.

Jumlah ini akan ditingkatkan kepada 3,000 suntikan vaksin sehari bermula 5 Julai ini.

“Pembukaan PPV Mega ini merupakan salah satu usaha Kerajaan Negeri untuk mencapai imuniti kelompok dengan lebih cepat di Negeri Sembilan.

“Melalui usaha ini, jumlah suntikan vaksin harian, akan naik daripada purata 7,000 orang sehari kepada 20,000 orang sehari di seluruh Negeri Sembilan bermula Julai ini.

“Proses vaksinasi ini boleh dilakukan terhadap 480,900 orang dalam masa 25 hari.

“Sasaran Kerajaan Negeri Sembilan memberi vaksin kepada 80 peratus penduduk Negeri Sembilan dapat dicapai pada akhir bulan Oktober ini,” kata Veerapan.

Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS)

Menurut Veerapan, PIKAS telah membuka sebuah PPV di D’Tempat, Bandar Seri Sendayan yang akan beroperasi pada 5 Julai ini.

“Pekerja kilang perlu divaksinkan dengan kadar segera dan proses ini perlu diselesaikan sebelum Ogos 2021 supaya kita dapat wujudkan imuniti kelompok sekurang-kurangnya 80% di Negeri Sembilan.

“Kilang-kilang harus patuh pada SOP yang ditetapkan secara ketat dan pastikan menjalankan saringan (screening) untuk pekerja masing-masing setiap tiga hari sekali atau seminggu sekali.

“Wujudkan bubble working group di tempat kerja dan buat isolasi. Kilang-kilang yang gagal ikut SOP, harus di ambil tindakan yang serius. Kita tidak mahu ada gelombang kedua di kalangan pekerja kilang,” ujar beliau lagi.

Veerapan berkata, beliau telah menasihatkan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negeri Sembilan (DOSH), agar turut memainkan peranan mereka untuk memantau kilang-kilang pada semua masa semasa pandemik Covid-19 ini.

“Kalau ada kilang yang tak patuh pada SOP yang ditetapkan, maka tindakan serius perlu diambil,” katanya yang juga ADUN Repah.

Show More

Related Articles

Back to top button