Berita

Rafie: 46 sekolah terima geran RM779,460

Kerajaan Negeri Sembilan memperuntukkan RM1 juta untuk Tabung Amanah Penyelenggaraan Sekolah.

SEREMBAN: Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan telah menyalurkan sumbangan sebanyak RM779,460 di bawah Geran Tabung Amanah Penyelenggaraan Sekolah kepada 46 buah sekolah setakat hari ini.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan, YB Dato’ Dr. Mohamad Rafie Ab Malek berkata, di dalam Belanjawan 2020, Kerajaan Negeri Sembilan memperuntukkan RM1 juta untuk Tabung Amanah Penyelenggaraan Sekolah.

“Peruntukan ini walaupun kecil tetapi ia merupakan komitmen dan keprihatinan Kerajaan Negeri Sembilan untuk memastikan prasarana sekolah-sekolah di Negeri Sembilan berada di dalam keadaan kondusif dalam usaha kita untuk memastikan pelajar belajar dalam keadaan yang baik dan selesa.

“Enam buah sekolah telah menerima peruntukan lebih awal sebelum ini bernilai RM82,099.

“Manakala dalam majlis penyerahan kedua pada 24 Julai 2020, 14 buah sekolah telah menerima bantuan dengan peruntukan berjumlah RM248,899.

“Dalam majlis ringkas hari ini, tambahan 26 sekolah telah mendapat manafaat dengan nilai peruntukan sebanyak RM448,462.

“Secara keseluruhan, setakat hari ini, sebanyak 46 sekolah telah menerima bantuan geran dengan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM779,460,” kata Mohamad Rafie dalam Majlis Penyerahan Cek Geran Tabung Amanah Penyelenggaraan Sekolah di Wisma Negeri.

Menurut Mohamad Rafie, baki peruntukan RM220,540 akan diserahkan kepada sekolah-sekolah berjaya dalam tempoh yang terdekat ini.

Dalam ucapannya, Mohamad Rafie menegaskan tugasan warga pendidik amat dihargai serta sangat penting dalam usaha memajukan negara.

“Kecemerlangan pendidikan akan memacu kemajuan ekonomi dan peradaban berhemah mulia yang bakal menyumbang kepada keharmonian dan kesejahteraan negara.

“Kerajaan Negeri Sembilan sedang berusaha untuk meningkatkan pelaburan yang akan membuka peluang pekerjaan dan peluang perniagaan.

“Keperluan kepada pekerja mahir dan berilmu akan meningkat kerana pelaburan yang dibawa masuk adalah pelaburan berteknologi tinggi.

“Maka komitmen warga pendidik dan ibubapa untuk memastikan generasi muda sekarang komited untuk mencintai ilmu dan menyedari ilmu yang dipelajari akan memberi manfaat kepada kehidupan mereka di masa yang akan datang menjadi agenda utama kita secara bersama,” ujarnya yang juga ADUN Ampangan.

Show More

Related Articles

Back to top button