Berita

209 mangsa banjir terima sumbangan kewangan dari Rafie dan Loke

AMPANGAN: Seramai 209 mangsa banjir DUN Ampangan menerima sumbangan kewangan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ampangan, YB Dato’ Dr.Mohamad Rafie Ab Malek dan Ahli Parlimen Seremban, YB Anthony Loke Siew Fook.

Mohamad Rafie berkata, beliau menyampaikan bantuan kepada 91 orang mangsa banjir di Balai Raya Kampung Ismail.

Manakala, Loke menyampaikan bantuan kepada 118 penerima di Balai Raya Kampung Blok C.

“Kami selaku ADUN Ampangan dan Ahli Parlimen Seremban sentiasa prihatin terhadap permasalahan yang menimpa rakyat di sini.

“Semoga sumbangan ini dapat meringankan beban mereka semua.

“Saya doakan mereka yang dilanda musibah ini sentiasa tabah dan sabar,” kata Mohamad Rafie.

Dalam pada itu Mohamad Rafie menegaskan bahawa banjir kilat berlaku di kawasan tersebut berpunca daripada tiga faktor.

“Faktor yang pertama, penebangan hutan yang tidak seimbang.

“Kebanyakkan kelulusan penebangan balak ini adalah dari pentadbiran yang terdahulu.

“Faktor yang kedua pula, Sungai Linggi sepanjang 84 km ini tidak diselenggara dengan baik.

“Manakala sistem perparitan di taman perumahan tidak berada dalam keadaan yang baik,” jelas Mohamad Rafie.

 

Mohamad Rafie mengulas, usaha selenggara membabitkan 29 km di Sungai Linggi, Sungai Batang Penar dan Sungai Paroi telah dilakukan baru-baru ini.

“Namun, ia masih belum mampu mengatasi masalah banjir kilat ini.

“Kos untuk selenggara sungai ini memerlukan peruntukan yang sangat banyak, oleh itu Kerajaan Negeri masih menunggu peruntukan dan kelulusan daripada Kerajaan Persekutuan supaya masalah ini boleh diatasi segera.

“Kerajaan Negeri Sembilan juga sedang berusaha menggunakan kaedah ‘Timbal Balik’ dimana kontraktor dibenarkan mengeluarkan pasir dengan kadar royalti yang amat rendah tetapi terlebih dahulu melebarkan, mendalamkan dan menyelenggara sungai-sungai ini,” ujar Mohamad Rafie.

Show More

Related Articles

Back to top button