Aktiviti

Rafie naik taraf kemudahan sukan DUN Ampangan

Menggalakkan masyarakat DUN Ampangan beriadah dan bersukan

AMPANGAN: ADUN Ampangan, YB Dato’ Dr.Mohamad Rafie Ab Malek berkata, menyediakan kemudahan sukan kepada penduduk DUN Ampangan terutamanya golongan muda merupakan salah satu agenda beliau.

Justeru katanya, sembilan projek membaikpulih dan menaik taraf gelanggang sepak takraw di DUN Ampangan telah dilaksanakan baru-baru ini.

“Hampir kesemua gelanggang sepak takraw di dalam DUN Ampangan telah dibaik pulih dan dinaik taraf oleh Pusat Khidmat Rakyat DUN Ampangan.

“Ini termasuk Gelanggang Sepak Takraw Kampung Ismail, Gedung Lalang 162, Kampung Sekolah, Kampung Bahagia Jiboi, Kampung Jiboi Baru, Blok C, Gedong Lalang Lama, Taman Bukti dan Taman Dusun Nyior.

“Usaha ini adalah untuk memberi keselesaan kepada masyarakat Ampangan khususnya generasi muda untuk beriadah dan menjadikan aktiviti sukan sebagai salah satu daripada aktiviti harian mereka,” kata Mohamad Rafie.

Kemudahan Ping-Pong di DUN Ampangan

Mohamad Rafie yang juga Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan berkata, hampir kesemua balai raya dan dewan orang ramai di DUN Ampangan juga telah dilengkapkan dengan kemudahan meja ping-pong oleh Pusat Khidmat Rakyat DUN Ampangan.

Premis yang telah dilengkapi dengan meja ping-pong adalah Balai Raya Gedung Lalang 162, Balai Raya Taman Bukti, Pusat Komuniti Taman Dato’ Shahbandar, Balai Raya Taman Kekwa, Balai Raya Kampung Sekolah, Balai Raya Taman Dusun Nyior, Balai Raya Kampung Ismail, Balai Raya Kampung Bahagia Jiboi, Balai Raya Kampung Baru Jiboi, Balai Raya Kampung Gedung Lalang Lama dan Dewan Orang Ramai Gedung Lalang 50.

“Jika ruang agak besar, ada di antara premis ini dilengkapkan sehingga empat set meja ping-pong.

“Kemudahan ini untuk menggalakkan masyarakat aktif bersukan dan mengeluarkan peluh yang boleh menyihatkan tubuh badan mereka.

“Ketika ini, ramai antara generasi yang agak berumur mengambil kesempatan menggunakan kemudahan meja (sukan) ping-pong ini berbanding dengan gelanggang sepak takraw yang rata-rata didominasi oleh anak muda,” ulas Mohamad Rafie.

Show More

Related Articles

Back to top button