Berita

Rafie: Pembangkang gagal memahami hasrat rakyat

Keluarga akan berasa terjamin bila rumah menjadi hak milik kekal

SEREMBAN: Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan, YB Dato’ Dr, Mohamad Rafie Abd Malek (Ampangan – Pakatan Harapan) berkata; pembangkang di Negeri Sembilan gagal memahami hasrat rakyat untuk memiliki rumah sendiri atas status hak milik kekal.

Mohamad Rafie berkata, Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan akan terus kekal untuk melaksanakan Manifesto PRU-14 dengan keputusan untuk membela hak rakyat dan meneruskan tawaran menukar status tanah berstatus pajakan (Leasehold) kepada hak milik kekal (Freehold) untuk taman-taman perumahan jika kesemua syarat-syarat yang ditetapkan dipatuhi walaupun pihak pembangkang kelihatan tidak senang dengan dasar kerajaan ini.

“Segala prosedur dan peraturan telah kita patuhi termasuk ketetapan Majlis Tanah Negara.

“Kepatuhan ini yang menyebabkan kelewatan pengisytiharan polisi ini setelah kemenangan Pakatan Harapan pada 9 Mei 2018 yang lepas.

“Ini kerana kelulusan Majlis Tanah Negara perlu diperolehi terlebih dahulu sebelum dasar ini boleh dilaksanakan,” jelas Mohamad Rafie.

Walaupun dijelaskan berkali-kali, pembangkang sukar terima hakikat ini

Mohamad Rafie berkata, rumah adalah di antara harta terpenting untuk mana-mana individu atau keluarga.

Seseorang individu akan berasa terjamin apabila rumah yang mereka miliki sekarang akan terus kekal menjadi harta mereka sehingga ke generasi anak cucu mereka yang akan datang.

“Kita merasa amat kecewa apabila pembangkang di negeri ini gagal memahami hasrat rakyat untuk memiliki rumah mereka sendiri atas status hak milik kekal ini.

“Alasan yang mereka beri adalah untuk mematuhi peraturan bahawa tiada lagi pertukaran status pajakan kepada hak milik kekal oleh Majlis Tanah Negara kecuali di atas situasi ‘special circumstances’.

“Walaupun dijelaskan berkali-kali bahawa Kerajaan Negeri telah memperolehi kelulusan Majlis Tanah Negara, namun pembangkang masih sukar untuk menerima hakikat ini.

“Lebih malang, pembangkang yang sama, ketika berkuasa, kerajaan pimpinannya telah meluluskan permohonan untuk kawasan perumahan elit di SIGC untuk menukar status daripada pajakan kepada hak milik kekal,” kata Mohamad Rafie.

Dasar Pakatan Harapan untuk membela rakyat

Mohamad Rafie mempersoalkan adakah Kerajaan Negeri ketika itu telah mendapat kelulusan khas untuk menukar status kawasan perumahan elit tersebut dan ianya juga dikategorikan sebagai ‘special circumstances’?

“Persoalannya juga mengapa perlu ada dua dasar yang berbeza? Satu untuk kawasan perumahan elit dibolehkan manakala kawasan perumahan rakyat biasa yang lain tidak boleh?

“Kelihatan jauh sekali perbezaan dari segi dasar dan polisi kerajaan pimpinan Pakatan Harapan dan pimpinan Barisan Nasional.

“Dasar Pakatan Harapan jelas adalah untuk membela rakyat,” ujar Mohamad Rafie.

Mohamad Rafie berkata demikian merujuk kepada perbahasan YB Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan (Rantau – BN) di Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Ketiga, Dewan Undangan Negeri Sembilan Yang Ke-14, kelmarin.

Isu penukaran status tanah kediaman bermula apabila YB Dato’ Ismail Lasim (Juasseh – BN) bertanya jumlah terperinci permohonan yang diterima oleh pihak berkuasa tempatan negeri bagi penukaran status pegangan tanah daripada pajakan kepada pegangan kekal dan dijawab oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun (Sikamat – Pakatan Harapan).

Mohamad mencelah dan berkata, pelaksanaan dasar itu oleh Kerajaan Negeri seperti ‘ada yang tidak betul’ dan bercadang menulis surat kepada Majlis Tanah Negara dan Pejabat Peguam Negara untuk penjelasan.

Show More

Related Articles

Back to top button