Berita

Rafie: RM1.16 juta diagihkan kepada 394 penerima TUNS Fasa 1

Penerima menerima geran RM3,000 untuk peralatan perniagaan bernilai RM2,000 dan modal pusingan RM1,000

SEREMBAN: Sebanyak 394 daripada 431 permohonan Tabung Pembangunan Usahawan Negeri Sembilan (TUNS) telah pun diluluskan bagi sesi penyaluran geran Fasa 1 pada tahun ini yang membabitkan jumlah peruntukkan sebanyak RM1,160,074.35; kata Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan, YB Dato’ Dr. Mohamad Rafie Ab. Malek

Kelulusan kepada 394 peniaga kecil ini bersamaan 91.4% daripada jumlah keseluruhan permohonan yang telah dibentangkan, manakala jumlah pembiayaan untuk semua kelulusan ini adalah bersamaan dengan 23.2% daripada jumlah peruntukan keseluruhan RM5 juta bagi tahun ini.

Rafie berkata, Kerajaan Negeri juga bersetuju untuk menambah RM1 juta lagi untuk membantu lebih ramai usahawan kecil dengan menjadikan jumlah keseluruhan RM6 juta untuk peruntukan TUNS pada tahun 2020.

“TUNS merupakan salah satu inisiatif Kerajaan Negeri Sembilan di dalam Belanjawan 2019 Negeri Sembilan yang paling mendapat sambutan memberangsangkan di kalangan rakyat.

“Pada Belanjawan 2020 Negeri Sembilan yang lalu telah diperuntukan dana tambahan berjumlah RM5 juta bagi memproses baki permohonan-permohonan yang telah diterima pada sebelum tarikh tutup pada Ogos tahun lalu.

“Sebanyak 6 siri mesyuarat telah dijadualkan oleh Bahagian Pembangunan Usahawan, PKNNS selaku Urus Setia TUNS bagi tujuan mempertimbangkan kesemua permohonan yang berbaki dan beberapa siri mesyuarat telah dilaksanakan secara atas talian semasa dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Ianya bertujuan agar dengan bantuan geran ini akan dapat membantu para peniaga kecil yang terjejas teruk akibat daripada penularan pandemik COVID-19 ini untuk bangkit semula mengorak langkah untuk lebih berjaya pada masa akan datang,” kata Rafie selepas Majlis Simbolik Penyerahan Geran TUNS di Dewan Serbaguna, Wisma Negeri, Seremban.

Rafie berkata, bagi majlis simbolik ini hanya melibatkan seramai 25 orang wakil penerima sahaja bagi mematuhi prosedur keselamatan dan protokol kesihatan yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Manakala baki geran TUNS akan diserahkan kepada penerima di Pusat Khidmat DUN mengikut lokaliti masing-masing.

“Tindakan ini penting bagi memastikan penularan wabak ini dapat dibendung dengan sentiasa mengamalkan langkah-langkah pencegahan dan penjarakan sosial.

“Setiap penerima akan menerima dana kewangan bernilai RM3, 000 seorang dimana sejumlah RM2,000 untuk peralatan perniagaan dan RM1, 000 untuk modal pusingan,” jelas Rafie lagi.

Turut hadir, Timbalan Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri, YB Dato’ M.Ravi; Exco Kesejahteraan Bandar, Perumahan Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru, YB Teo Kok Seong; Exco Pembangunan Belia dan Sukan, YB Dato’ Mohamad Taufek Abd Ghani; Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, YB Bakri Sawir; Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan, YB S. Veerapan; Exco Pembangunan Luar Bandar, YB Ismail Ahmad dan Exco Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan, YB Nicole Tan Lee Koon.

Show More

Related Articles

Back to top button