Berita

Pelajar baru Maahad Ahmadi dapat suntikan semangat dari Aminuddin

65 pelajar baru untuk sesi tahun 2021 dan 15% dari golongan B40

SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkesempatan menyertai taklimat kemasukan kumpulan pertama pelajar Tingkatan Satu Sekolah Agama Berasrama Penuh (SABP) Maahad Ahmadi Negeri Sembilan bagi sesi 2021.

“Saya difahamkan seramai 65 orang pelajar telah mendaftarkan diri bagi sesi kali ini, dan sebanyak 15 peratus daripada jumlah tersebut adalah daripada golongan B40.

“Disebabkan tiada peperiksaan utama dijalankan pada tahun 2020, SABP Maahad Ahmadi Negeri Sembilan telah menjalankan ujian bertulis dan lisan bagi pelajar yang ingin menyertai sesi 2021 ini.

“Para pelajar juga dinilai daripada keputusan UPKK mereka,” ulas Aminuddin.

Aminuddin berkata demikian kepada pelajar Maahad Ahmadi menerusi sesi aplikasi Google Meet yang diadakan pagi tadi di Wisma Negeri, Seremban.

Aminuddin berkata, Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan telah mengumumkan bahawa Maahad Ahmadi dinaiktaraf sebagai sebuah Sekolah Agama Berasrama Penuh (SABP) bermula dengan pengambilan tahun 2021 ini.

“Sehubungan itu, Kerajaan Negeri dalam proses menaik taraf beberapa kemudahan infrastruktur sekolah agar dapat memberi keselesaan kepada semua pelajar.

“Insyaa Allah, saya doakan anak-anak saya yang berjaya mendapat tempat di SABP Maahad Ahmadi menjadi insan berjaya di dunia dan akhirat serta sentiasa menegakkan syiar Islam di Negeri Sembilan dan juga Malaysia,” kata Aminuddin.

 

Foto: Nabil Syafiq

Show More

Related Articles

Back to top button