Aktiviti

Rafie: TUBE galak generasi belia ceburi perniagaan

SEREMBAN: Dalam usaha memberi motivasi kepada usahawan muda bimbingan dari Negeri Sembilan dan Melaka, SME Corp telah menganjurkan satu Sesi Dialog ‘Tubers’ Bersama Exco Keusahawanan Negeri Sembilan/Melaka dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp di Hotel Holiday Inn, Melaka.

Sesi Dialog dipengerusikan oleh Pengarah SME Corp Negeri Sembilan, Encik Ahmad Muizz Mohd Yusof,

Ahli panel terdiri dari Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan Negeri Sembilan, Yb Dato’ Dr Mohamad Rafie Abd Malek; Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Industri Asas Tani Melaka, YB Datuk Norhizam Hassan Bakti; dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Encik Rizal Nainy.

Mohamad Rafie berkata, Tubers adalah peserta Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) yang merupakan inisiatif kerajaan bagi menggalakkan generasi belia menceburi bidang perniagaan.

“Program ini menyasarkan golongan belia Bumiputera yang berumur di antara 18 hingga 30 tahun yang mempunyai minat mendalam untuk melibatkan diri dalam bidang keusahawanan, khususnya belia yang mempunyai sijil kemahiran asas daripada institusi latihan atau pusat kemahiran tempatan.

“Objektif utama Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera ini adalah untuk memupuk dan menanam semangat keusahawanan di kalangan belia.

“Anjakan paradigma belia dari pencari pekerjaan kepada pemilik atau pengusaha perniagaan.

“Membentuk daya tahan dan jati diri di kalangan belia dalam mengendalikan perniagaan sendiri,” kata Mohamad Rafie.

Dr Rafie dalam sesi dialog, turut berkongsi kejayaan Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan yang memperkenalkan inisiatif Tabung Pembangunan Usahawan Negeri Sembilan (TUNS) untuk melahirkan lebih ramai usahawan kecil di Negeri Sembilan.

Turut hadir Pengerusi SME Corp Malaysia, Dato’ Sri Syed Hussin Al Habshee; Yang DiPertua Dewan Perniagaan Melayu Melaka, Encik Abd Halim Husin dan Ketua Pegawai Pembangunan Kluster SME Corp Malaysia, Encik Zaky Moh.

Show More

Related Articles

Back to top button