Berita

Ravi dan Veerapan akan bantu penternak yang kematian lembu

10 ekor lembu mati mati disyaki minum air sungai beracun

PORT DICKSON: Kejadian 10 ekor lembu yang mati, disyaki minum air sungai yang beracun di Ladang Tanah Merah mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Tanjung, YB Dato’ M.Ravi dan Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan, YB S.Veerapan.

Petang kelmarin, Ravi dan Veerapan telah melawat tempat kematian 10 ekor lembu ternakan di Ladang Tanah Merah berhampiran dengan Tapak Pelupusan Sampah Tanah Merah dan Kualiti Alam.

“Lembu-lembu tersebut disyaki telah minum air sungai yang beracun di kawasan tersebut.

Jabatan Veterinar Negeri Sembilan diketuai oleh Dr.Kuneswary telah menjalankan siasatan ke atas lembu-lembu tersebut bagi mencari punca kematian,” kata Veerapan

Ravi dan Veerapan menasihati para penternak supaya bersabar sehingga siasatan selesai dijalankan.

“Saya dan Veerapan akan membantu penternak untuk mendapatkan pampasan daripada pihak yang terlibat yang menyebabkan air sungai ini tercemar dan menyebabkan kematian lembu-lembu ini,” jelas Ravi yang juga merupakan Timbalan Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri.

Ravi berkata, beliau dimaklumkan dalam tempoh sebulan ini, sebanyak 26 ekor lembu telah mati di kawasan ini disyaki minum air sungai beracun.

“Saya dimaklumkan terdapat 16 peserta penternak lembu dan terdapat lebih kurang 800 ekor lembu diternak di sini. Kerugian dianggarkan RM130,000.

“Ada juga lembu yang disyaki minum air sungai yang masih sakit dan dijangka akan mati dalam satu atau dua hari lagi.

“Ada lembu yang mengandung masih tenat. Dimaklumkan ada juga anak lembu yang dilahirkan dalam keadaan cacat,” ujar Ravi.

Veerapan pula berkata, Jabatan Vetinar telah membuat bedah siasat ke atas lapan ekor lembu dan telah mengambil sampelnya.

“Keputusan hasil ujian sampel akan diperolehi dalam masa sebulan ini.

“Pihak JAS juga telah mengambil sampel air pada hari ini untuk tujuan analisa oleh Jabatan Kimia.

“Tindakan akan diambil selepas memperolehi keputusan sampel tersebut.

“Pemilik lembu juga boleh ambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menyebabkan kematian lembu-lembu ini,” kata Veerapan yang juga merupakan ADUN Repah.

 

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close
Close