Menarik

Aminuddin Menteri Besar Negeri Sembilan ke-12

KUALA PILAH: Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Pakatan Harapan Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan bagipenggal kedua pada Isnin.

Aminuddin, 56, mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Besar Seri Menanti di sini pada jam 4.15 petang.

Turut menyaksikan istiadat itu, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud bersama dua anakanda baginda, Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin dan Tunku Zain Al’Abidin.

Hadir sama, Undang Luak Sungai Ujong, Dato’ Mubarak Dohak; Undang Luak Jelebu, Dato’ Maarof Mat Rashad; Undang Luak Johol, Dato’ Muhammad Abdullah; Undang Luak Rembau, Dato’ Muhamad Sharip Othman dan Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri.

Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN-15) pada 12 Ogos, Aminuddin berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat bagi empat penggal berturut-turut.

Aminuddin menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Ahmad Raihan Muhamad Hilal serta dua calon Bebas iaitu Bujang Abu dan Mohammed Hafiz Baharudin dengan majoriti 2,662 undi.

Aminuddin lahir pada 2 Januari 1967 di Kampung Pachitan, Port Dickson. Aminuddin dan isteri mempunyai lima anak iaitu tiga lelaki dan dua perempuan.

Beliau menerima pendidikan di Sekolah Menengah Kebangsaan Tanah Merah, Port Dickson sebelum melanjutkan pelajaran di Institut Teknologi Mara (sekarang UiTM) dalam bidang perniagaan.

Aminuddin pernah bertugas sebagai pegawai penyiasat Badan Pencegah Rasuah (sekarang SPRM) dari 1991 hingga 1995.

Pada 1995, beliau bekerja dengan Golden Hope Furniture Sdn Bhd sebagai Ekskutif dan kemudian di MCIS Safety Glass (M) Sdn Bhd sebagai Eksekutif Kanan dari 1996 sehingga 2008.

Aminuddin juga Naib Presiden KeADILan sejak tahun 2022 dan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Negeri Sembilan sejak 2014.

Show More

Related Articles

Back to top button