Berita

Rebin: Peneroka Felda jangan terburu-buru dengan cadangan pembangunan

Berhubung cadangan pembangunan tanah Felda bagi tujuan pembangunan komersial oleh sebuah syarikat swasta; terlebih dahulu saya menyeru agar semua pihak khususnya para peneroka Wilayah Raja Alias bertenang dan tidak terburu-buru dalam mendepani isu ini.

Sebagaimana yang telah sedia maklum kebelakangan ini telah tular surat sokongan oleh Exco Pembangunan Luar Bandar, YB Haji Ismail Ahmad terhadap cadangan pembangunan tanah Felda bagi tujuan komersial dan menjana ekonomi peneroka berserta dokumen memorandum persetujuan para peneroka yang dikeluarkan oleh Majlis Gabungan Bertindak Pembangunan Wilayah Raja Alias ke kawasan-kawasan rancangan Felda yang menimbulkan pelbagai kecelaruan dan ketidaktentuan dikalangan masyarakat peneroka.

Untuk makluman, surat sokongan yang dikeluarkan oleh YB Haji Ismail adalah bersifat sokongan moral semata-mata ke atas pihak syarikat dalam usaha mengumpulkan data tuan-tuan tanah terhadap cadangan pembangunan seperti yang dinyatakan; dengan perkataan lain surat sokongan tersebut bukanlah kata putus persetujuan oleh Kerajaan Negeri.

Saya juga mencadangkan kepada pihak syarikat agar segera membuat permohonan dan mengemukakan profil korporat syarikat, dokumen terperinci rancangan pembangunan berskala besar dan dokumen-dokumen sokongan lain untuk diteliti oleh pihak Kerajaan Negeri bagi mengukur keupayaan syarikat berkenaan melaksanakan cadangan projek tersebut.

Sementara itu borang ‘survey’ yang dikeluarkan oleh Majlis Gabungan Bertindak Pembangunan Wilayah Raja Alias adalah bersifat umum dan tidak mengikat kepentingan mana-mana pihak. Justeru borang tersebut tidak boleh dijadikan alasan untuk mana-mana pihak menjanjikan sesuatu atau paksaan kepada peneroka untuk menandatangani borang tersebut.

Saya juga berharap agar para peneroka selaku tuan tanah bersabar dalam mendepani perkara ini dan biarlah pihak syarikat berurusan dengan pihak Kerajaan Negeri dan Felda sehingga tercapainya kata putus yang akhirnya tidak merugikan mana-mana pihak.

Rebin Birham
Penyelaras DUN Palong
Ketua Cabang KeADILan Jempol
Ahli Majlis Pimpinan Negeri KeADILan Negeri Sembilan

Show More

Related Articles

Back to top button