Berita

REPAH: Veerapan lancar operasi nyah kuman di sembilan kawasan perumahan

REPAH: Exco Kesihatan merangkap ADUN Repah, YB Veerapan Superamaniam, telah melancarkan operasi semburan sanitasi nyah kuman di sembilan kawasan perumahan di DUN Repah malam tadi.

Veerapan berkata, operasi yang bermula malam tadi dan akan diteruskan hingga malam ini; membabitkan Taman Indah, Kampung Baru Tampin, Pekan Tampin, Taman Clonlee, Taman Batu Belang Jaya, Taman Batu Belang, Taman Bukit Ria, Taman Minang dan Taman Clonlee 2.

“Kementerian Kesihatan Malaysia menyatakan bahawa terdapat tiga varian baru iaitu, Afrika Selatan, UK dan India yang telah dikenal pasti sedang merebak di beberapa negeri termasuk Negeri Sembilan.

“Maka sebagai salah satu langkah pencegahan, operasi sanitasi telah dimulakan dengan segera.

“Operasi sanitasi oleh sukarelawan Unit Tindakan Nyah Kuman DAP Repah ini, adalah bertujuan bagi membantu Kerajaan Negeri dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19 di sekitar kawasan DUN Repah ini,” katanya.

Veerapan memohon orang ramai memberikan kerjasama sepenuhnya dengan mematuhi arahan pihak berkuasa supaya sentiasa mengamalkan SOP PKP bagi memastikan rantaian jangkitan Covid-19 dapat diputuskan.

“Saya juga telah mewujudkan Unit Tindakan Nyah Kuman DAP Repah yang akan bekerjasama dengan semua agensi kerajaan seperti bomba, Rela, JPAM, polis dan Pejabat Kesihatan Daerah untuk memastikan proses nyah kuman dibuat mengikut SOP yang telah ditetapkan.

“Besarlah harapan saya supaya setiap DUN dapat mewujudkan unit tindakan nyah kuman masing-masing di Negeri Sembilan dalam usaha memutuskan rangkaian penularan Covid-19 di kawasan masing-masing.

“Pada masa yang sama, saya juga menyarankan kerjasama dari anak muda dalam mewujudkan dan menyertai pasukan unit tindakan nyak kuman di setiap DUN masing-masing,” ujar beliau.

Veerapan berkata, tanggungjawab bersama dalam sesebuah organisasi akan memastikan pandemik Covid-19 di Negeri Sembilan dapat dikawal dan diputuskan dengan seberapa segera.

“Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada Unit Tindakan Nyah Kuman DAP Repah atas kesungguhan mereka untuk bersama-sama membasmi dan memutuskan rangkaian penularan Covid-19.

“Saya cukup terharu dengan ahli akar umbi DAP Repah yang begitu prihatin untuk sama-sama membantu dalam hal ini.

“Terima kasih juga kepada anggota Balai Bomba Tampin yang turut membantu melaksana operasi nyah kuman ini,” kata Veerapan.

Show More

Related Articles

Back to top button