Berita

Rintihan Nurul Ashafiqah dapat perhatian Menteri Besar

Menteri Besar dan ADUN Paroi menyumbang wang dan barang makanan

PAROI: Nasib Puan Nurul Ashafiqah Azlan yang menetap di Pangsapuri Rakyat Sri Perdana, Paroi mendapat perhatian YAB Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Aminuddin Harun.

Mewakili Menteri Besar; Penasihat Agama Kepada Menteri Besar, Ustaz Jaafar Mohamad dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paroi, YB Dato’ Mohd Taufek Abdul Ghani telah menziarahi Nurul Ashafiqah pada pagi ini.

Ustaz Jaafar menyampaikan sumbangan kewangan daripada Menteri Besar kepada Nurul Ashafiqah, manakala Dato’ Mohd Taufek turut menyampaikan sumbangan kewangan dan barang makanan bagi meringankan beban beliau.

Untuk makluman, Nurul Ashafiqah telah menerima notis daripada pihak Majlis Bandaraya Seremban (MBS) kerana mempunyai tunggakan sewa rumah.

Ustaz Jaafar (kiri) mewakili Menteri Besar menyampaikan sumbangan kewangan kepada Puan Nurul Ashafiqah. Foto: Nabil Shafiq.

“Walaubagaimanapun, saya ingin menegaskan MBS belum pernah mengusir mana-mana individu yang mempunyai tunggakan sewa rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR), walaupun secara keseluruhannya tunggakan sewa rumah PPR di bawah MBS kini telah mencecah RM1.2 juta.

“Penghantaran notis oleh MBS merupakan Prosedur Operasi Standard (SOP) biasa, kerana MBS akan diaudit oleh Jabatan Audit Negara setiap tahun.

“Saya juga ingin menarik perhatian kepada dakwaan bahawa bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada Nurul Ashafiqah telah dihentikan pada bulan Mac.

“Kerajaan Negeri Sembilan menafikan sekeras-kerasnya tuduhan yang tidak bertanggungjawab ini.

“Semakan dalam sistem mendapati bahawa bantuan JKM telah diluluskan bermula September 2019 sehingga bulan Ogos 2020,” jelas Ustaz Jaafar.

YB Dato’ Mohd Taufek turut menyerahkan sumbangan barang makanan kepada Puan Nurul Ashafiqah. Foto: Nabil Shafiq

Berkata kepada Negeri Kita, Ustaz Jaafar menjelaskan keluarga ini menerima bantuan Baitulmal serta JKM setiap bulan bagi meringankan kos rawatan dua orangnya yang menghidapi penyakit Epilepsi (anak sulung) dan Autisme (anak kedua).

“Insya-Allah, bagi meringankan beban Nurul Ashafiqah dan keluarganya, Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan melalui Pejabat ADUN Paroi akan membantu membangunkan perniagaan menjual tahu sumbat yang diusahakan oleh Nurul Ashafiqah dan suaminya melalui promosi serta bantuan peralatan perniagaan.

“Insya-Allah, semoga usaha ini dipermudahkan oleh Allah SWT,” kata Ustaz Jaafar.

Orang ramai yang ingin membantu Nurul Ashafiqah boleh menghubungi beliau di talian 017 – 679 6954.

 

Show More

Related Articles

Back to top button