BeritaProgram

Rizab Kerajaan Negeri Sembilan RM899.25 juta: Aminuddin

Belanjawan 2022 berjumlah RM520 juta

SEREMBAN: Rizab Kerajaan Negeri Sembilan kukuh dan sehingga 15 November lalu adalah berjumlah RM899.25 juta.

Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, Kerajaan Negeri Sembilan berjaya mengutip hasil sebanyak RM334.27 juta sehingga 15 November lalu.

“Saya yakin Kerajaan Negeri akan berupaya mengutip hasil sekurang-kurangnya 90 peratus daripada anggaran Belanjawan 2022 pada penghujung tahun 2021,” katanya.

Aminuddin berkata demikian semasa Pembentangan Belanjawan Negeri Sembilan 2022 di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Yang Ke-14 di Seremban sebentar tadi.

Kata beliau, kedudukan rizab yang kukuh sebanyak RM899 juta, membolehkan Kerajaan Negeri menetapkan peruntukan perbelanjaan tahun 2022 sebanyak RM520 juta iaitu melebihi daripada jangkaan hasil sebanyak RM432 juta atau defisit sebanyak RM88 juta yang merangkumi pelbagai bantuan kewangan, pemberian tunai, insentif bukan kewangan dan bantuan sokongan.

Bagi perbelanjaan pembangunan, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM130 juta.

“Sebagai bukti Kerajaan Negeri bersungguh-sungguh dalam usaha memulihkan ekonomi, adalah perlu untuk berbelanja lebih daripada kutipan hasil bagi membolehkan lebih banyak intervensi dan suntikan dana dilaksanakan.

“Namun, belanjawan defisit ini adalah berfokus dan terarah dengan memberikan keutamaan kepada sektor-sektor yang memberi nilai pengganda tinggi kepada ekonomi,” jelas Aminuddin.

Mendaya Upaya Ekonomi Rakyat

Menurut Aminuddin lagi, Kerajaan Negeri sedang berhadapan dengan dua krisis yang tidak pernah dihadapi sebelum ini iaitu krisis kesihatan (pandemik Covid-19) dan krisis ekonomi.

“Justeru, Belanjawan Tahun 2022 ini telah dirangka untuk ‘Mendaya Upaya Ekonomi Rakyat’ dengan dua tekad iaitu mengurangkan beban perbelanjaan rakyat dan meningkatkan keupayaan penjanaan pendapatan keluarga.

“Belanjawan 2022 dirangka secara menyeluruh dan inklusif hasil dapatan daripada pakar ekonomi, sesi rasionalisasi dan konsultasi dengan pemegang taruh sehingga maklum balas peringkat akar umbi,” ujar beliau.

 

Show More

Related Articles

Back to top button