Aktiviti

Rusnani: Gotong Royong kukuhkan permuafakatan penduduk kampung

60 penduduk Desa E-Kasih dan anggota bomba berganding bahu

GEMAS: Pejabat Penyelaras DUN Gemas dengan kerjasama masyarakat Desa E-Kasih telah menganjurkan program Gotong-Royong Perdana Desa E-Kasih di Felda Pasir Besar.

Penyelaras DUN Gemas, Puan Rusnani Saring berkata, program yang dianjurkan bersempena Sambutan Hari Malaysia, antara lain bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan silaturrahim di samping meningkatkan dan mengukuhkan lagi semangat perpaduan di kalangan penduduk kampung Desa E-Kasih dengan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Gemas dan Jabatan Kerja Raya Tampin.

“Program ini dilihat mampu menyemai dan menyemarakkan lagi semangat kerjasama dan permuafakatan yang tinggi di kalangan penduduk kampung.

“Program gotong-royong ini telah diadakan di perkarangan tapak permainan dan kawasan sekitar.

“Ini termasuk membersihkan kawasan tanah lapang untuk dijadikan sebagai tapak pertanian bagi komuniti desa tersebut,” kata Rusnani.

Seramai 60 penduduk Desa E-Kasih menjayakan program gotong-royong ini.

Menurut Rusnani lagi, aktiviti ini berupaya menyemarakkan lagi semangat tolong menolong, hormat- menghormati dan menyemai semangat cintakan kebersihan yang menjadi sebahagian daripada tuntutan dalam agama Islam itu sendiri.

 

“Selain itu, program gotong royong ini juga berupaya untuk membentuk persefahaman dan sebagai tempat untuk kita menyemai semangat setiakawan dan semangat rasa kekitaan di antara penduduk kampung dengan pasukan bomba yang menyertai program gotong-royong berkenaan.

“Syabas dan jutaan terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang telah memberikan kerjasama dan menjayakan program ini.

“Semoga apa yang dirancang akan terlaksana dan membuahkan hasil seperti yang diimpikan,” ujar Rusnani.

Show More

Related Articles

Back to top button