Berita

Rusnani nafi ambil nama, hasil usaha orang lain

GEMAS: Penyelaras DUN Gemas, Puan Rusnani Saring menafikan sekeras-kerasnya kononnya beliau ‘mengambil nama’ (kredit) dari hasil usaha dan kerja pihak lain.

Beliau berkata demikian, merujuk kepada isu yang dibangkitkan oleh Dayang Nur’Azlin Nordin dan Fariza Rahim dalam ruangan komen di media sosial Facebook Penyelaras DUN Gemas, berkenaan perkongsian sebuah artikel daripada portal Negeri Kita yang bertajuk “Rusnani: Rumah uzur dimakan anai-anai akan di baiki segera” yang melemparkan kenyataan tidak benar terhadap beliau.

Menurut Rusnani, komen yang ditulis oleh Dayang Nur’azlin Nordin adalah:

“Tak silap saya, YB Razak yang buat Permohonan dari Pejabat Daerah untuk membantu keluarga ini.

Dan tak kisahlah siapa yang dapat membantu, asalkan dapat menyelesaikan segala masalah rakyat. Kepada Penyelaras Gemas tak perlu bangga diri atas usaha orang lain dan tolonglah lawat lawat sikit rakyat rakyat dekat kawasan Gemas ni. Takkan nak mengharapkan kerja orang lain.

Lembu punya susu, Sapi dapat nama.

Terima Kasih YB Dato Abd Razak Ab Said (ADUN Gemas) yang sentiasa menjaga rakyat dan membantu segala permasalahan di kawasan Dun Gemas. Walaupun Di Negeri Sembilan kita adalah Pembangkang tetapi YB tetap menjalankan tanggungjawab.”

Manakala komen yang ditulis oleh Fariza Rahim adalah seperti berikut:

“Kalau tak silap ni permohonan dh dibuat oleh YB Dato’ Abd Razak Ab Said yg telah dimohon kepada Pej. Daerah.. Terima kasih Pejabat Daerah meluluskan permohonan ini… Tahniah dan terima kasih jugak YB Dato’ menyelesaikan masalah ni.

“Saya dengan ini menafikan tuduhan dan pernyataan tersebut yang menunjukkan seolah-olah saya ‘mengambil nama’ (kredit) hasil usaha dan kerja dari pihak orang lain.

“Untuk makluman, Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat Pejabat Penyelaras DUN Gemas telah menerima satu surat daripada Pejabat Daerah Kecil Dan Tanah Gemas bertarikh 09 Jun 2020 No Rujukan : PDKG (P) 555/2 Klt 3 (56) berkenaan Permohonan Peruntukkan Vot P56 bagi kerja-kerja membaikpulih rumah Encik Hassim bin Abdullah, di No 1507 Kampung Felda Pasir Besar.

“Saya telah difahamkan dan telah menerima makluman bahawa permohonan ini telah di dokumentasi dan dihantar sendiri oleh Pengerusi Majlis Pengurusan Kampung (MPKK) Kampung Felda Pasir Besar iaitu Encik Hermansyah Bin Edizar,” jelas Rusnani.

Rusnani berkata, satu lawatan telah dibuat bersama tuan rumah pada 22 Jun 2020 (Isnin) untuk menjalankan siasatan berkaitan dengan permohonan tersebut. Tujuan utama lawatan ini adalah untuk menentukan perkara-perkara berikut:

  1. Membuat tinjauan tapak bagi kawasan yang terlibat.
  2. Mengambil segala butiran dan gambar di kawasan yang terlibat untuk kegunaan Pejabat Penyelaras DUN.
  3. Menyelesaikan masalah tersebut.

“Hasil daripada lawatan tersebut , di dapati struktur bumbung rumah pemohon mengalami kebocoran yang amat teruk dan kebanyakkan struktur kayu telah rosak dimakan anai-anai.

“Justeru itu, persetujuan untuk membaik pulih telah dicapai dengan menggunakan dana dan peruntukkan Penyelaras DUN Gemas melalui Kerajaan Negeri Sembilan.

“Ini seiring dengan dasar Kerajaan Negeri Sembilan di bawah pimpinan YAB Dato Seri Haji Aminuddin bin Harun, iaitu memelihara rakyat dalam arus pembangunan.

“Oleh yang demikian, saya selaku Penyelaras DUN Gemas sekali lagi ingin menegaskan bahawa kenyataan tersebut adalah tidak benar dan saya berharap agar kenyataan media ini dapat menjawab persoalan dan kemusykilan yang ditimbulkan,” ujar Rusnani.

Foto: Intan

Show More

Related Articles

Back to top button