Berita

Rusnani: Pembinaan Balai Polis Gugusan Felda Jelai sedang diusahakan

GEMAS: Penyelaras DUN Gemas, Puan Rusnani Saring telah mempengerusikan Taklimat dan Perbincangan Keselamatan Zon Jelai di Bangunan JKKR, Felda Jelai 3.

Sesi pertemuan ini dihadiri Pegawai Pembangunan Pejabat Daerah Kecil Gemas, Puan Hazieyah; Ketua Balai Polis Gemas, Tuan ASP Mohd Rodzi Masa’at; Pegawai Rela Daerah Tampin, Encik Ridzuan; Pengurus dan Pegawai Gugusan Felda Jelai 1,2,3,4; Pengerusi MPKK dan JKKR Zon Jelai, Biro Keselamatan MPKK Jelai 2 dan 3, Pengerusi NGO Perisai, Encik Marzuki Maarop dan wakil GPW Felda Jelai 1,2,3,4.

Rusnani berkata, perbincangan yang diadakan buat pertama kalinya adalah berkenaan isu dan permasalahan berkenaan kes pecah rumah, kehilangan dan kecurian motor yang semakin meningkat dari hari ke hari terutamanya dalam keadaan negara sedang menghadapi Covid-19 dan PKPP.

“Saban hari, ada sahaja laporan yang diterima oleh pihak polis berkenaan kes tersebut.

“Tuan ASP Mohd Rodzi turut berkongsi kaedah dan cara yang boleh dipraktikkan oleh tuan rumah bagi mengekang kediaman masing-masing daripada sasaran pencuri.

“Kita juga sedang berusaha untuk membina sebuah balai polis di Gugusan Felda Jelai dan masih menunggu pasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Kontingen Negeri Sembilan dan Bukit Aman bagi lawatan tapak yang dicadangkan pembinaannya.

“Diharapkan pihak PDRM dapat meluluskan permintaan ini,” jelas Rusnani.

Rusnani berkata, beliau bersetuju untuk membekalkan dan memberikan sumbangan peralatan keselamatan dan barangan pantry kepada skuad rondaan sukarela.

“Aspek keselamatan juga amat dititik beratkan agar semua pihak yang terlibat dalam skuad rondaan terhindar dari sebarang musibah dan kecelakaan.

“Semoga usaha kerjasama dan muafakat semua pihak dengan penuh iltizam untuk membanteras kes pecah rumah dan kehilangan harta benda akan membuahkan hasil dan mencegah kes jenayah,” ujar Rusnani.

Show More

Related Articles

Back to top button