Berita

Saringan bersasar pekerja industri punca kes Covid-19 meningkat di Negeri Sembilan

SEREMBAN: Peningkatan kes baharu positif Covid-19 di Negeri Sembilan adalah disebabkan saringan bersasar yang dilakukan oleh majikan terhadap pekerja industri serta saringan kontak rapat dan saringan bergejala.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, sebanyak 36 peratus daripada 1,086 kes pada hari Khamis adalah daripada kluster; 41 peratus adalah kontak rapat dan 23 peratus adalah sporadik.

“Bagi kes-kes di bawah kluster, terdapat 78 peratus melibatkan pekerja di sektor perindustrian, 13 peratus melibatkan pusat jagaan khas dan sembilan peratus melibatkan komuniti.

“Sebanyak 53 peratus daripada kes sporadik adalah melibatkan saringan pekerjaan atau saringan bergejala terhadap pekerja yang terlibat di dalam sektor perindustrian,” ujar Aminuddin.

Aminuddin menyarankan supaya orang ramai melakukan kawalan pergerakan kendiri terutama dalam tempoh PKP bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

“Kawalan pergerakan kendiri ini boleh dilakukan dengan tidak keluar dari rumah jika tiada keperluan penting.

“Patuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sekiranya perlu keluar rumah atas apa-apa urusan penting,” katanya.

Sehingga jam 12.00 tengah hari Khamis, 1,086 kes baharu positif Covid-19 telah dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan (JKNNS), menjadikan jumlah keseluruhan kes Covid-19 ialah sebanyak 36,194 kes dengan 5,825 kes sedang dirawat dan 244 kematian telah direkodkan.

 

 

Photo: TheHealthSite

Show More

Related Articles

Back to top button