Berita

Saringan besar-besaran lebih efektif mengekang penularan pandemik Covid-19,” Veerapan

Kes rentas negeri dan kes sporadik lebih tinggi dari kluster

SEREMBAN: Exco Kesihatan Negeri Sembilan, YB Veerapan Superamaniam mencadangkan Kementerian Kesihatan Malaysia menjalankan proses saringan Covid-19 secara besar-besaran (mass screening) di hotspot (zon merah) di Negeri Sembilan.

Veerapan berkata, saringan secara besar-besaran lebih efektif untuk mengekang penularan pandemik Covid-19.

“Sekiranya, kita buat mass screening sudah pasti kes akan meningkat tapi hanya untuk tempoh masa tertentu. Kes positif dapat diasingkan dan dirawat daripada kes negatif.

“Kes rentas negeri dan kes sporadik lebih tinggi dari kluster. Varian baru mula dikesan di banyak negeri. Saringan secara besar besaran lebih efektif untuk tujuan itu,” jelas beliau.

Menurut Veerapan, sehingga 13 Jun 2021, jam 12.00 tengah hari, terdapat 331 kes baharu positif Covid-19 telah dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan (JKNNS), menjadikan jumlah keseluruhan kes Covid-19 ialah sebanyak 33,782 kes dengan 5,127 kes sedang dirawat dan 213 kematian telah direkodkan.

“Peningkatan kes yang berlaku di Negeri Sembilan sejak kebelakangan ini adalah hasil daripada saringan bersasar yang dilakukan terhadap pekerja terutama dari sektor perindustrian, saringan kontak rapat dan saringan bergejala.

“Selain itu, peningkatan kes import dari negeri yang berjiran juga meningkat berikutan rakyat negeri ini yang bekerja di sana dan seterusnya menjangkiti ahli keluarga.

“Masih terdapat juga kes-kes yang dikesan dari kluster komuniti yang berlaku sebelum perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan. Namun begitu, kadar kebolehjangkitan Covid-19 bagi Negeri Sembilan telah menurun dari 1.23 (5 Jun 2021) kepada 1.05 (12 Jun 2021),” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button