BeritaMenarik

Kerajaan ambil langkah atasi banjir: AMINUDDIN

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan sentiasa mengambil pelbagai langkah bagi mengatasi masalah banjir di negeri ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun (Sikamat-PH) berkata, penyelenggaraan sungai yang lebih kerap akan dilaksanakan untuk memastikan aliran air sungai tidak menghadapi apa-apa halangan.

“Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan RM200,000 di 10 buah lokasi secara lantikan terus oleh Pejabat Kewangan Negeri bagi tujuan ini.

“Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan sungai serta kolam bagi memastikan aliran air tidak terganggu serta memastikan agar kolam dapat menampung aliran air sebelum disalirkan ke sungai.

“Program timbal balik pasir yang sedang dilaksanakan di Sungai Muar juga dilihat dapat mengurangkan risiko limpahan air sungai ketika hujan lebat berlaku.

“Bagi perancangan jangka panjang, JPS akan memastikan ‘crossing culvert’ yang telah dibina tetapi tidak mengikut saiz, akan digantikan bagi memastikan aliran air tidak terganggu dan pembinaan ban akan dibina di kawasan lebih rendah,” kata Aminuddin.

Menurut Aminuddin lagi, Kerajaan Negeri melalui JPS Daerah Kuala Pilah telah mengenal pasti antara punca kejadian banjir di Daerah Kuala Pilah disebabkan hujan yang turun sangat lebat melebihi 60mm/jam yang menyebabkan berlakunya kejadian banjir di rumah yang dibina di kawasan rendah atau dataran banjir berhampiran sungai.

“Pembinaan rumah kampung tradisi yang dibina atas tanah persendirian hendaklah dirujuk dengan agensi teknikal yang berkaitan adalah bagi memastikan rumah tidak dibina di kawasan aras banjir.

“Kejadian banjir juga disebabkan terdapat ‘crossing culvert’ yang dibina merentangi sistem perparitan atau anak sungai yang tidak mengikut kelebaran parit atau anak sungai menyebabkan berlakunya ‘bottle neck’ yang membuatkan aliran air terganggu dan melimpah ke kawasan yang rendah,” jelas beliau lagi.

Aminuddin berkata demikian bagi menjawab pertanyaan ADUN Juasseh, YB Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid (BN) di Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Yang Ke-15 di Seremban.

Bibi Sharliza bertanya, apakah perancangan jangka pendek dan jangka panjang Kerajaan Negeri bagi mengatasi masalah banjir bagi kampung-kampung tradisi khususnya di DUN Juasseh.

Show More

Related Articles

Back to top button