Berita

Soalan lazim (FAQ): Penukaran status pajakan 99 tahun kepada hak milik kekal

π—¦π—’π—”π—Ÿπ—”π—‘ π—Ÿπ—”π—­π—œπ—  (𝗙𝗔𝗀) π—•π—˜π—₯π—žπ—”π—œπ—§π—”π—‘ π——π—˜π—‘π—šπ—”π—‘ π—£π—˜π—‘π—¨π—žπ—”π—₯𝗔𝗑 π—§π—˜π— π—£π—’π—› π—£π—˜π—šπ—”π—‘π—šπ—”π—‘ π—›π—”π—žπ— π—œπ—Ÿπ—œπ—ž 𝗗𝗔π—₯π—œπ—£π—”π——π—” π—£π—”π—π—”π—žπ—”π—‘ π—žπ—˜π—£π—”π——π—” π—›π—”π—žπ— π—œπ—Ÿπ—œπ—ž π—žπ—˜π—žπ—”π—Ÿ π——π—œ π—‘π—˜π—šπ—˜π—₯π—œ π—¦π—˜π— π—•π—œπ—Ÿπ—”π—‘οΌš

1.Apakah kawasan yang telah dibuka untuk memohon penukaran tempoh pegangan hakmilik daripada pajakan kepada hakmilik kekal di Negeri Sembilan?

Buat masa ini, hanya Taman Marida, Senawang dan Gedung Lalang 162, Ampangan yang dibenarkan untuk memohon penukaran tempoh pegangan hakmilik daripada pajakan kepada hakmilik kekal.

2. Bagaimanakah dengan kawasan lain di Negeri Sembilan?

Pemohonan di kawasan lain akan dibuka secara berperingkat dan Kerajaan Pakata Harapan Negeri Sembilan akan membuat pengumuman yang selanjutnya pada masa yang terdekat.

3. Adakah semua jenis tanah juga boleh memohon penukaran tempoh pegangan hakmilik daripada pajakan kepada hakmilik kekal di Negeri Sembilan?

Hanya tanah-tanah yang berstatus kediaman sahaja yang dibenarkan untuk memohon penukaran tempoh pegangan hakmilik daripada pajakan kepada hakmilik kekal.

4. Adakah semua pemilik tanah yang berstatus kediaman dibenarkan untuk memohon penukaran tempoh pegangan hakmilik daripada pajakan kepada hakmilik kekal di Negeri Sembilan?

Hakmilik yang didaftarkan sebelum PRU-14 iaitu yang didaftarkan sebelum atau pada 8 Mei 2018 sahaja yang layak untuk memohon. Tarikh ini juga termasuk bagi tarikh hakmilik sementara yang didaftarkan.
Pemohon (sama ada waris atau pembeli) yang menerima hakmilik hasil dari urusan pindah milik daripada pemilik asal selepas 8 Mei 2018 tidak layak untuk memohon.

5. Sekiranya pemilik tanah yang berstatus kediaman meninggal dunia selepas 8 Mei 2018, adakah pewarisnya layak untuk memohon?

Pemohon yang menerima hakmilik hasil dari urusan turun milik akibat kematian daripada pemilik asal selepas 8 Mei 2018 adalah layak untuk mengemukakan permohonan. Waris kepada pemilik asal perlu menyelesaikan bicara kuasa dan membuat urusan turun milik terlebih dahulu sebelum mengemukakan pemohonan.

6. Sekiranya hakmilik tanah yang berstatus kediaman didaftarkan di bawah syarikat atau perbadanan, adakah tanah tersebut layak untuk mengemukakan permohonan?

Individu sahaja yang layak memohon. Hakmilik berdaftar di bawah syarikat atau perbadanan tidak layak untuk memohon.

7. Sekiranya seseorang rakyat Negeri Sembilan mempunyai beberapa tanah yang berstatus kediaman, adakah dia layak memohon untuk menukarkan semua tanah tersebut daripada pajakan kepada hakmilik kekal?

Setiap individu yang layak hanya boleh menggunakan sekali sahaja kuota untuk menukar status pemilikan tanah pajakan kepada hakmilik kekal.

8. Bolehkan pemilik tanah yang berstatus kediaman menghantar wakil untuk mengemukakan pemohonan bagi pihak dia?

Semua penama yang didaftarkan sebagai wasi, wakil, pentadbir, pemegang amanah atau pemegang suaratkuasa wakil adalah tidak layak untuk memohon. Mereka perlu menyelesaikan terlebih dahulu urusan tanah tersebut.

9. Adakah pemilikan bersama layak untuk untuk mengemukakan pemohonan?

Boleh. Setiap pemilik perlu mengisi Borang 12a KTN 1965 dan Borang Khas Permohonan Tanah Kerajaan. Salah seorang pemilik perlu menggunakan kuota beliau bagi permohonan hakmilik tersebut dan beliau perlu mengisi Borang Akuan Bersumpah. Sekiranya pemilikan hakmilik tersebut bersama dengan bukan warganegara, pemastautin tetap (PR), syarikat atau perbadanan maka hakmilik tersebut tidak layak untuk dipertimbangkan.

10. Adakah semua jenis hakmilik juga layak mengemukakan permohonan?

Pemilik berdaftar bagi hakmilik muktamad (final title) sahaja yang boleh memohon. Bagi pemilik berdaftar hakmilik sementara, pemohon perlu menunggu sehingga hakmilik tersebut telah muktamad untuk memohon.

11. Adakah mempunyai had keluasan maksimum hakmilik yang dibenarkan?

Tanah berstatus bangunan kediaman berdasarkan had keluasan maksimum tidak lebih daripada 10 ribu persegi. Walau bagaimanapun, permohonan melebihi 10 ribu kaki persegi akan dilayan secara case by case basis.

12. Adakah had baki tempoh pajakan akan menjejaskan permohonan tersebut?

Tanah pajakan 99 tahun yang mempunyai baki 70 tahun dan ke bawah sahaja yang layak untuk memohon; Tanah pajakan 60 tahun yang mempunyai baki 33 tahun dan ke bawah sahaja yang layak untuk memohon.

13. Sekiranya tanah tersebut telah ditukar kepada hakmilik kekal, adakah pemilik tersebut dibenarkan untuk menjual tanah tersebut?

Bagi hakmilik yang tidak mempunyai kategori dan syarat nyata, pemohon perlu memohon untuk meletakkan kategori ‘bangunan’ dan syarat nyata ‘bangunan kediaman’ terlebih dahulu. Sekatan kepentingan dan morotarium perlu diletakkan kepada semua hakmilik selepas pemberimilikan seperti β€œTanah tersebut tidak boleh dipindah milik dalam tempoh sepuluh tahun daripada tarikh kelulusan pemberimilikan.”

14. Bagaimanakah pengiraan kadar premium?

Bagi keluasan 1000 kaki persegi dan ke bawah, kadar premium adalah RM1.00 per kaki persegi;

Bagi keluasan 1001 kaki persegi dan sehingga 1300 kaki persegi, kadar premium adalah RM1.50 per kaki persegi;

Bagi keluasan 1301 kaki persegi dan ke atas, kadar premium adalah RM2.00 per kaki persegi.

Kadar premium bagi rumah rakyat atau rumah kos murah skim lama yang bersaiz kecil adalah RM500 setiap lot.

15. Apakah cara permohonan?

Pemohon perlu menggunakan Borang 12A KTN 1965 bersama Borang Khas Permohonan Tanah Kerajaan (Penukaran tempoh Pegangan Hakmilik daripada Pajakan kepada Selama-lamanya) dan menyertakan Borang Akuan Bersumpah yang telah ditetapkan.

16. Adakah permohonan tersebut mempunyai surcaj?

Kadar bayaran proses RM100 bagi Tanah Desa dan RM300 bagi Tanah Bandar/Pekan.

17. Sekiranya saya mahu mengemukakan permohonan, dimanakah saya boleh dapatkan borang permohonan tersebut?

Anda boleh dapatkan borang permohonan tersebut di Pejabat Daerah dan Tanah Seremban di Seremban 2.

(FAQ ini adalah ringkasan dari PEKELILING PENGARAH TANAH DAN GALIAN NEGERI SEMBILAN.)

 

Show More

Related Articles

Back to top button