Berita

Stadium bola sepak sawah pertama di Malaysia

KUALA PILAH: Stadium bola sepak Ngoca di Perkampungan Budaya Terachi, Kuala Pilah merupakan stadium bola sepak sawah yang pertama dan satu-satunya di Malaysia.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, stadium bola sepak Ngoca ini dibina di tapak sawah berkeluasan lima ekar yang meliputi lapan petak sawah untuk dijadikan sebagai medan pertandingan.

Stadium ini dibina dengan peruntukkan RM840,000 dan menyediakan kemudahan tempat mandi kepada pengunjung yang hadir.

“Perkampungan Budaya Terachi telah lama terbiar dan tidak digunakan sebaiknya di bawah kerajaan sebelum ini.

“Alhamdulillah, sejak Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan mengambil alih tampuk pemerintahan negeri, perkampungan ini telah dibangunkan sebagai tempat tarikan makanan tradisional.

“Kerja-kerja menaik taraf dan membaik pulih Blok A telah dilaksanakan dengan peruntukkan Kerajaan Negeri berjumlah RM600,000,” jelas Aminuddin.

Kata beliau lagi, pada tahun hadapan kerja-kerja membaik pulih dan menaik taraf Blok B akan dilaksanakan dengan peruntukkan RM3,000,000 daripada Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya.

Dalam pada itu Aminuddin berkata, stadium bola sepak Ngoca dan Pesta Bola Ngoca telah menjadikan Kuala Pilah sebagai perintis utama dalam bidang sukan unik yang tidak ada di negeri-negeri lain.

“Pejabat Daeran dan Tanah Kuala Pilah bersama jabatan serta agensi lain telah berganding bahu dalam menjayakan inisiatif pembinaan stadium ini yang bertujuan untuk menyumbang kepada industri pelancongan negara.

“Saya yakin dengan pembinaan stadium ini, kita dapat meneruskan aktiviti sukan sawah yang bakal menjadi aktiviti sukan rakyat utama di Negeri Sembilan dan salah satu tarikan atau simbolik pelancongan untuk program sukan rakyat warisan Negeri Sembilan,” ulas Aminuddin.

 

Foto: Nabil Syafiq

 

 

 

Show More

Related Articles

Back to top button