Berita

Suhaimi: Baik pulih bumbung rumah rosak akibat ribut akan siap hari ini

LENGGENG: Kejadian ribut pada petang kelmarin mengakibatkan lapan buah rumah di Kampung Panchor, Flat Taman Cengal dan Taman Ampangan mengalami kerosakan bumbung rumah.

Justeru, ADUN Lenggeng, YB Suhaimi Kassim telah melawat lokasi kejadian. Beliau turut melawat sebuah surau di Kampung Tok Dagang dan sepuluh gerai penjaja di Taman Ampangan.

“Anggaran kerosakan yang berlaku adalah RM15,000 yang melibatkan sebuah rumah di Kampung Panchor, dua buah rumah di Flat Taman Cenggal, empat buat rumah di Taman Ampangan, sebuah rumah surau di Kampung Tok Dagang dan sepuluh gerai penjaja di Taman Ampangan.

“Kejadian yang berlaku sekitar jam 6.00 petang kelmarin menyebabkan bumbung rumah terbang serta khemah penjaja pula koyak.

“Ini menyebabkan rutin harian mangsa terjejas dan penjaja pula alami kesukaran untuk berniaga,” jelas Suhaimi.

Suhaimi berkata, kerja-kerja pembaikan telah dimulakan segera dan dijangka siap hari ini.

“Kos membaiki akan ditanggung melalui peruntukan Pusat Khidmat Rakyat DUN Lenggeng,” ujarnya.

Turut hadir dalam sesi lawatan ialah wakil daripada Pejabat Daerah Seremban, Ahli Majlis Bandaraya Seremban, Pengerusi MPKK Kampung Paroi dan Kampung Panchor.

Show More

Related Articles

Back to top button