Berita

Sungai Lui: Mangsa kebakaran dan banjir dapat rumah baru

Pembangunan infrastruktur bernilai RM460 ribu di DUN Sungai Lui telah siap

SUNGAI LUI: Dua buah keluarga yang terlibat dengan kejadian kebakaran dan banjir pada tahun lepas di DUN Sungai Lui, masing-masing mendapat kediaman baru yang dibina oleh Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun menyerahkan kunci rumah kepada mangsa kebakaran Puan Mariyani Hashim dan mangsa banjir, Encik Sariman Pari.

Penyelaras DUN Pertang, Tuan Zainal Fikri Abd Kadir berkata, kediaman Mariyani di Kampung Baru Ayer Hitam, musnah dalam satu kejadian kebakaran pada bulan Ogos tahun lepas; manakala rumah Sariman di Kampung Dusat, rosak teruk dalam kejadian banjir pada Mei 2020.

Mariyani juga merupakan seorang ibu tunggal dan Orang Kurang Upaya (OKU).

“Justeru, saya telah membuat satu permohonan kepada YAB Menteri Besar untuk mendapatkan peruntukan membina semula kedua-dua rumah keluarga ini.

“Alhamdullillah, Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan RM98 ribu untuk membina semula kediaman untuk kedua-dua keluarga ini,” jelas Zainal Fikri.

Aminuddin menyerahkan replika kunci rumah kepada Sariman di Kampung Dusat (dua kanan). Zainal Fikri (kanan). Razali (kiri)

Jambatan baru di Kampung Dusat

Sementara itu, Aminuddin turut merasmikan sebuah jambatan baru untuk menggantikan jambatan lama di Kampung Dusat.

“Jambatan lama yang dibina pada tahun 2002 telah uzur dan masalah jambatan tersebut berlarutan sejak sekian lama.

Justeru, pada tahun lepas saya telah memohon peruntukan untuk membina semula jambatan yang lebih efisien dan selesa serta menaiktaraf jalan tanah yang bersambung dengan jambatan itu.

Keadaan jambatan lama dan jalan tanah di Kampung Dusat (Fasa permulaan pembinaan)

“Peruntukan sebanyak RM460 ribu telah diluluskan oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar menerusi permohonan ke Pejabat Daerah Jempol.

“Jambatan dan jalan raya bertar ini telah siap sepenuhnya pada 31 Januari 2021.

“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan di bawah pentadbiran YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun, Pegawai Daerah Jempol dan semua pihak yang terlibat.

“Adalah diharapkan dengan kemudahan yang disediakan ini, dapat memberi keselesaan kepada penduduk tempatan” ujar Zainal Fikri.

Jambatan dan jalan raya baru yang telah siap dibina di Kampung Dusat

Zainal Fikri sebelum ini, merupakan Penyelaras DUN Sungai Lui untuk penggal 2019 – 2020. Penyelaras DUN Sungai Lui yang baru ialah Tuan Saiful Bahri Jaaman.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Dr Razali Ab Malik; Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan; Penyelaras DUN Sungai Lui, Tuan Saiful Bahri Jaaman; Pegawai Daerah Jempol, Tuan Shahrul Nizam dan Ketua Polis Daerah Jempol, Supritenden Hoo Chang Hook.

Show More

Related Articles

Back to top button