Berita

Syawal membawa sinar baru kepada warga emas

Nasib Jaafar mendapat perhatian Penyelaras DUN Jeram Padang

JERAM PADANG: Nasib seorang warga emas uzur yang hidup sebatang kara, mendapat perhatian Penyelaras DUN Jeram Padang, Encik Musliadi Sabtu selepas menerima maklumat dari Pengerusi MPKK Kampung Seri Rompin, mengenai kesusahan dan masalah yang dihadapi oleh Encik Jaafar Ali Yaakob,

“Menyedari hampir sebulan Jaafar tidak kelihatan di sekitar Kampung Seri Rompin, Katini telah mencari Jaafar sehingga ke rumah dan berdasarkan perbualan dengan Jaafar, beliau tidak mempunyai keluarga dan telah menetap di rumah sewa ini lebih kurang 20 tahun dengan kadar sewa RM30 sebulan.

“Pada masa yang sama juga beliau tiada pengenalan diri kecuali surat akuan persekolahan bertarikh 24 Julai 1981.

“Justeru, saya telah menghubungi pihak polis dan hospital bagi tindakan segera untuk membantu.

“Hanya Allah Taala sahaja yang tahu apabila melihat kesusahan yang dihadapi oleh Encik Jaafar,” jelas Musliadi.

Musliadi berkata pihak hospital telah membawa Jaafar untuk pemeriksaan kesihatan termasuk pemeriksaan Covid-19.

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga telah dihubungi untuk bantuan sewajarnya. Walaubagaimanapun segala tindakan oleh pihak JKM akan disusuli selepas arahan dari pihak hospital bagi memastikan Jaafar bebas dari COVID-19.

“Sekiranya Jaafar tidak mempunyai keluarga dan bebas dari Covid-19, maka keputusan yang bakal dibuat ialah dengan menempatkan Jaafar di rumah kebajikan orang-orang tua di bawah seliaan JKM.

“Saya akan menggerakkan Pengerusi MPKK dan ahli jawatankuasanya untuk membersihkan rumah yang disewa oleh Jaafar setelah mendapat pengesahan dari pihak hospital yang Jaafar bebas dari Covid-19.

“Saya ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak polis, hospital dan JKM di atas tindakan pantas yang diambil dalam usaha membantu warga emas ini,” kata Musliadi.

#NegeriSembilanBersihMuafakatSejahtera

Show More

Related Articles

Back to top button