Berita

KeADILan Negeri Sembilan menyokong penuh Anwar sebagai Pengerusi Pakatan Harapan

SEREMBAN: Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KeADILan Negeri Sembilan akan terus kekal menyokong kepimpinan YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai Presiden KeADILan dan Pengerusi Pakatan Harapan.

Pengerusi MPN KeADILan Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, Anwar sentiasa cekal dalam perjuangan walaupun diduga dengan pelbagai ujian selama ini.

Keteguhan pegangan prinsip, kejituan penegakan agenda reformasi dan ciri-ciri negarawan beliau jelas terserlah dalam krisis yang dihadapi negara sekarang.

“Kami yakin ciri-ciri ini penting dalam memacu negara keluar daripada krisis Covid-19 dan kelembapan ekonomi serta membela nasib rakyat.

“Kami di Negeri Sembilan akan meneruskan agenda reformasi pembelaan rakyat dan pengukuhan institusi negeri tanpa bertolak ansur terhadap rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

“Bertitik tolak dari keadaan rakyat yang terhimpit dengan kos sara hidup, pendapatan yang tidak tetap serta ekonomi yang tidak menentu, maka agenda tersebut wajib diperkukuhkan,” katanya.

Mantapkan gerak kerja PRU-15

Aminuddin berkata, MPN KeADILan Negeri Sembilan sentiasa mendoakan semoga kesihatan rakyat terus terbela tanpa diabaikan dengan kekusutan politik dan negara dapat bangkit daripada krisis kesihatan serta ekonomi dengan pemerintahan negara yang lebih baik.

“Kami menyeru saf kepimpinan, anggota parti dan akar umbi di Negeri Sembilan untuk terus memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan presiden dan prinsip yang diperjuangkan.

“Kami menggesa pemimpin dan anggota parti di Negeri Sembilan khususnya dan Malaysia amnya untuk terus mengukuhkan parti dan memantapkan penyusunan gerak kerja ke arah Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), bagi mengembalikan mandat rakyat yang telah dimenangi dalam PRU-14 sebelum ini,” ujar Aminuddin lagi.

Menurut Aminuddin lagi, MPN KeADILan Negeri Sembilan menghormati pelantikan Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri yang ke-9 pada 21 Ogos lalu.

“Pelantikan beliau telah dibuat mengikut lunas perlembagaan dan amalan demokrasi berparlimen dan sistem raja berperlembagaan serta mengambilkira kepentingan rakyat dan negara,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button