BeritaProgram

Selamat Tahun Baru 2023: AMINUDDIN

Syukur ke hadrat Allah SWT, tahun 2022 telah melabuhkan tirainya. Tahun yang melakar kebangkitan semula rakyat selepas bergelut dengan pandemik Covid-19 sejak tahun 2020.

Bagi pihak Kerajaan Negeri Sembilan saya ingin merakamkan jutaan penghargaan kepada seluruh rakyat Negeri Sembilan yang telah bersama-sama membantu memacu kemajuan negeri yang kita kasihi ini dan mengharungi pelbagai cabaran yang mendatang.

Alhamdulillah, tahun 2022 telah mencatatkan kutipan hasil Kerajaan Negeri melebihi sasaran yang ditetapkan dalam Belanjawan 2022.

Sehingga 31 Disember 2022, sebanyak RM521.15 juta telah berjaya dikutip berbanding anggaran RM432 juta.

Jumlah ini menjadikan sasaran hasil adalah bersamaan 120.64 peratus dari jumlah yang disasarkan.

Tahniah kepada Pejabat Kewangan Negeri Sembilan dan seluruh anggota Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan yang telah bersama merealisasikan kejayaan ini.

Tahun 2023 bakal menyaksikan cabaran ekonomi dunia berdepan dengan risiko kemelesetan. Negeri Sembilan juga tidak terkecuali untuk berhadapan dengan cabaran ekonomi tahun hadapan.

Kerajaan Negeri telah mengambil tindakan intervensi yang tuntas untuk mempengaruhi rantaian ekonomi di peringkat pengeluaran (supply) dan permintaan (demand), maka diharapkan tekanan ekonomi pada tahun 2023 dapat ditangani.

Setiap kali menjelang tahun baharu, kita sentiasa berazam untuk melakarkan masa hadapan yang lebih baik.

Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan tidak pernah rasa jemu, lelah serta sentiasa berazam untuk terus membuat kebaikan dan kebajikan kepada sekalian rakyat Negeri Sembilan.

Perkara ini menuntut kesungguhan dan pengorbanan atas nama kebaktian pada agama, nusa dan bangsa.

Marilah kita bersama-sama berdoa memohon semoga Allah SWT sentiasa merahmati usaha, membimbing tindakan dan mengizinkan hasil yang sempurna buat kita semua di bumi bertuah ini.

Di kesempatan ini, saya mengucapkan Selamat Tahun Baru kepada semua rakyat Malaysia khususnya warga Negeri Sembilan.

Semoga iltizam, ikhtiar dan usaha kita untuk tahun hadapan lebih baik berbanding tahun ini, Insya Allah.

Salam Negeri Sembilan Bersih, Muafakat, Sejahtera.

YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun,

Menteri Besar Negeri Sembilan,
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat,
Naib Presiden KeADILan,
Pengerusi Majlis Pimpinan Pakatan Harapan Negeri Sembilan,
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KeADILan Negeri Sembilan.

Show More

Related Articles

Back to top button