Berita

Kerajaan PH Negeri Sembilan meluluskan 443 projek bernilai RM41.97 juta

Sebahagian daripada program pembangunan kontraktor Bumiputera di Negeri Sembilan

SEREMBAN: Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan meluluskan 443 projek bernilai RM41.97 juta bagi tahun 2021 dan ianya merupakan sebahagian daripada program pembangunan kontraktor Bumiputera di Negeri Sembilan.

Justeru, telah berlangsung majlis Cabutan Kerja Undi Penyenggaraan Jalan Negeri di Bawah Peruntukan MARRIS Negeri Sembilan Fasa 1/2021 secara Facebook Live Streaming, di Wisma Negeri pagi kelmarin.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, cabutan kerja undi kali ini menawarkan 443 projek yang bernilai tidak lebih RM100,000 dan tidak kurang daripada RM80,000 dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM41.97 Juta.

“Untuk cabutan kerja undi kali ini (Fasa 1 tahun 2021), sebanyak 1,561 kontraktor telah berjaya memenuhi syarat daripada 1,753 kontraktor yang mendaftar melalui online untuk kerja-kerja undi ini.

“Jumlah kontraktor yang mendaftar secara online tersebut adalah merangkumi 65 peratus daripada jumlah Kontraktor Bumiputra Berdaftar di bawah kelas G1.

“Saya berharap kontraktor yang terpilih ini akan terus berusaha untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan dan dapat menyiapkan kerja-kerja yang diamanahkan dengan cekap dan berkualiti,” ujar Aminuddin.

Aminuddin berharap, kontraktor Bumiputera membuktikan kesungguhan mereka dalam memperkasakan usahawan Bumiputera dalam industri pembinaan.

“Adalah menjadi harapan Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan, keistimewaan ini akan dipergunakan dengan jujur, cekap dan amanah.

“Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada Jabatan Kerja Raya Negeri Sembilan kerana berjaya mendapat tempat pertama dalam prestasi kewangan MARRIS di Malaysia dengan kejayaan peratus perbelanjaan 132 peratus.

“Kejayaan ini membuktikan tadbir urus kewangan yang cemerlang mampu mencorak pengurusan yang lebih berkesan serta berakauntabiliti.

 

Foto: Nabil Syafiq

Show More

Related Articles

Back to top button