Berita

Tawaran empat dan dua ekar tanah Gatco dibuka hingga 31 Januari 2021

Selepas 31 Januari 2021, tawaran Kerajaan Negeri akan ditutup

Saya percaya belum terlambat bagi saya mengucapkan Selamat Menyambut Hari Natal kepada rakyat Malaysia yang beragama Kristian.

Semoga Hari Krismas ini disambut dengan meriah walaupun pada kadar sederhana memandangkan penularan wabak Covid-19 yang masih berterusan. Saya menyeru supaya rakyat sentiasa mematuhi SOP dan nasihat kerajaan berkenaan pandemik Covid-19, supaya kita dapat memutuskan penularan rangkaian Covid-19.

Pada 24 Disember 2020, satu lagi majlis yang penuh bermakna dengan penuh kegembiraan telah berlangsung iaitu Majlis Penyerahan Hak Milik Tanah (Geran asal) kepada peserta Gatco.

Seramai 38 peserta telah menerima Hak Milik Tanah di bawah Fasa 2 ini.

Dalam program penyerahan hak milik tanah tersebut, kesemua peserta yang menerimanya mengucapkan terima kasih dan rasa bersyukur di atas penerimaan Geran asal tersebut dan juga ke atas penyelesaian isu yang berlarutan selama 42 tahun itu.

Saya terharu apabila melihat rata-rata peserta kelihatan melinangkan air mata disebabkan kegembiraan yang tidak terhingga.

Dalam program ini seramai 38 orang peserta menerima geran untuk empat ekar (4) dan dua (2) ekar, mengikut kelayakan masing-masing.

Sebelum itu, di bawah Fasa 1, seramai 139 orang peserta telah menerima Geran asal daripada Kerajaan Negeri dengan keluasan yang sama.

Saya anggarkan seramai 81 orang lagi akan menerima Geran asal di bawah Fasa 3.

Maka, seramai 258 orang peserta Gatco disenaraikan untuk menerima Geran asal ini.

Seterusnya, tarikh tawaran untuk baki peserta dibuka sehingga 31 Januari 2021 untuk terima tawaran empat (4) ekar dan dua (2) ekar.

Selepas 31 Januari 2021, kes Gatco dianggap tutup

Kita tegaskan bahawa keputusan muktamad Kerajaan Negeri adalah untuk memberikan empat ekar dan dua ekar sahaja.

Selepas tarikh tersebut, tawaran ini akan ditutup dan tidak akan dilayan selepas tarikh itu.

Akhirnya, kes Gatco ini akan dianggap ditutup selepas itu. Peserta yang mendesak Kerajaan Negeri untuk mendapatkan lapan ekar telah hilang hak mereka mengikut Perintah Mahkamah dan tuntutan mereka pada realitinya juga tidak ada asas dalam undang-undang.

Seterusnya, saya juga ambil maklum berkenaan desakan bahawa ada ahli politik yang berjanji akan menambahkan keluasan tanah kepada mereka yang ke mahkamah.

Saya hendak jelaskan, bahawa janji yang dibuat oleh ahli politik semasa menjadi pembangkang tidak bertukar dan menjadikan hak yang boleh dituntut dan bukan suatu janji yang mewujudkan hak atau kepentingan baru untuk mereka kerana tanah tersebut telah jadi milikkan pihak ketiga.

Saya ingin tegaskan bahawa pihak pembangkang pada masa itu tidak diberitahu fakta sebenarnya berkenaan kes Gatco.

Keputusan untuk memuktamadkan berapa ekar yang layak diberikan kepada peserta Gatco terletak sepenuhnya ke atas pihak berkuasa negeri. Kerajaan Negeri mengucapkan terima kasih atas pandangan ADUN kerajaan yang meminta untuk menambah keluasan tanah untuk peserta yang telah hilang hak di mahkamah.

Walaubagaimanapun, Kerajaan Negeri telah mengambil maklum semua fakta dalam kes Gatco dan Kerajaan Negeri amat prihatin ke atas kehilangan hak mereka untuk tanah apabila tanah telah berpindah milik ke atas pihak ketiga.

Kerajaan Negeri tiada kuasa untuk merampas tanah tambahan daripada pihak ketiga. Tambahan pula, Kerajaan Negeri tidak ada tanah yang lebih untuk mengurniakan lapan (8) ekar kepada peserta yang telah ke Mahkamah.

Oleh itu, untuk kepentingan semua peserta Gatco, Kerajaan Negeri akan mengagihkan tanah yang ada ini secara adil dan saksama kepada mereka.

Elak politikkan isu Gatco, jauhi beri harapan palsu

Saya menyeru kepada pihak pembangkang khususnya PSM dan MIC supaya tidak mempolitikkan isu ini. Saya juga menyeru kepada peguam yang bijak dan arif supaya tidak membicara kes dalam media sosial.

Sekiranya, mereka percaya bahawa ada isu yang kukuh dan boleh menyebabkan hak mereka boleh didapati daripada dokumen yang ada maka saya minta peguam tersebut membawa balik kes ini semula ke Mahkamah.

Saya juga percaya bahawa peguam faham berkenaan pengasingan kuasa di antara parlimen, ekskutif dan badan kehakiman. Pihak ekskutif tidak mempunyai kuasa untuk membicarakan kes seperti yang diujarkan oleh peguam tersebut dalam media sosial. Saya percaya peguam tersebut arif dalam perkara ini.

Saya juga meminta pihak-pihak yang berkaitan untuk tidak memberikan harapan palsu kepada peserta yang ke mahkamah bahawa mereka akan lawan untuk lapan ekar sehingga peserta-peserta ini dapat hak mereka walaupun akan mengambil masa bertahun-tahun.

Saya percaya peserta yang ke mahkamah adalah lebih bijak daripada mereka yang mencari keuntungan politik semata-mata. Peserta yang ke mahkamah mempunyai pengalaman yang serik, pahit, membuang masa, tenaga, membelanjakan wang ringgit kepada peguam dan akhirnya kes mahkamah yang mereka lawan telah kalah.

Maka, saya harap mereka akan terbuka untuk terima apa yang ditawarkan oleh Kerajaan Negeri. Kerajaan Negeri membuka tawaran ini hanya sehingga 31 Januari 2021.

Sekian, terima kasih.

YB Veerapan Superamaniam

Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan

ADUN Repah

27 Disember 2020

 

Foto: Nabil Syafiq

Show More

Related Articles

Back to top button