Berita

Ng: Tujuh projek infra awam bernilai RM1.5 juta di Temiang

TEMIANG: Tujuh projek infrastruktur awam di bawah peruntukan MARRIS sebanyak RM1,531,540.00 sedang dilaksana di DUN Temiang.

ADUN Temiang, YB Ng Chin Tsai berkata, tujuh projek ini telah dimulakan dan akan siap pada akhir tahun ini.

“Projek-projek ini termasuk projek menurap semula jalan, projek membaik pulih tembok penahan dan projek menyelenggara longkang.

“Sebelum ini saya telah melaporkan masalah infrastruktur awam di DUN Temiang kepada Majlis Bandaraya Seremban (MBS) secara bulanan bagi memastikan kemudahan infrastruktur awam ini dibaikpulih dan dinaiktaraf agar penduduk-penduduk menikmati kemudahan ini.

“Setelah proses lawatan dan penilaian, MBS meluluskan tujuh projek ini.

“Usaha ini membuktikan bahawa Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan amat mengambil berat tentang permasalahan rakyat,” kata Ng.

Dua tahun pemerintahan PH, banyak projek naik taraf infra dilaksana

Menurut Ng, projek menurap Jalan Dato’ Kelana Maamor telah dimulakan sebulan yang lalu dan kini telah siap sekitar 90 peratus.

Perbelanjaan projek ini sebanyak RM324,815.00 dan melibatkan jalan sepanjang kira-kira 1.8 kilometer.

Ng berkata, beliau akan terus melakukan lawatan secara berkala dan akan mencadangkan kepada MBS, kawasan yang perlu dinaiktaraf serta diperbaiki infrastruktur agar penduduk DUN Temiang berasa lebih selesa dan selamat.

“Selepas Pakatan Harapan mengambilalih Kerajaan Negeri Sembilan, pasukan Pusat Khidmat Rakyat DUN Temiang, mengambil langkah proaktif dengan meninjau kawasan yang perlu dinaiktaraf.

“Dalam tempoh dua tahun pemerintahan Kerajaan Pakatan Harapan, banyak projek menaiktaraf infrastruktur awam telah dijalankan oleh MBS melalui peruntukan MARRIS,” jelas Ng.

Berikut butiran tujuh projek infrastruktur tersebut:

  1. Empat projek menurap semula jalan termasuk Jalan Campbell, Jalan Yazid Abdul Hamid, Jalan Sri Pulai 33 hingga Sri Pulai 37, Taman Sri Pulai 3 dan Jalan Dato’ Kelana Maamor.

2. Satu projek membaikpulih tembok penahan di Kampung Bukit Merbah.

3. Dua projek menyelenggara longkang di Jalan Rahmat 2, Taman Temiang Jaya dan Jalan Seng Meng Lee.

Show More

Related Articles

Back to top button