Kolumnis

Sehari bersama Tok Min menuai hasil penyelesaian masalah rakyat

EDY NOOR REDUAN: Tanggal 6 Oktober 2022 menyaksikan rentetan tiga agenda besar Kerajaan Negeri pimpinan YAB Dato Seri Aminuddin Harun (Tok Min) dimuktamadkan dalam masa sehari demi kesenangan dan kebajikan rakyat. Tiga agenda melibatkan permasalahan rakyat yang berjaya diselesaikan dalam masa tidak sampai sepenggal pentadbiran Pakatan Harapan di Negeri Sembilan.

Di sebelah pagi, Tok Min yang bermalam di inap desa Palong 8 bagi menyantuni warga Felda dengan lebih dekat, telah menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Lot Kediaman Felda Generasi Kedua di Felda Palong 12. Mungkin ramai yang tidak tahu usaha ini telah bermula sejak awal pentadbiran Tok Min setelah kedengaran rintihan demi rintihan anak-anak peneroka Felda berkenaan isu tempat berteduh generasi baharu Felda.

Pada dasarnya pihak Felda perlu memulangkan kembali mana-mana tanah yang tidak digunakan kepada Kerajaan Negeri namun perjanjian ini tidak dituruti dan tanah-tanah tersebut kekal terbiar tanpa pemilik. Maka Kerajaan Negeri telah bertindak secara proaktif menuntut pemulangan tanah-tanah yang tiada pemilik daripada pihak Felda dan diberi kepada Generasi Kedua serta Ketiga Felda yang layak bersaiz lot kediaman.

Tok Min bertekad memastikan mereka yang layak ini mempunyai peluang untuk memiliki kediaman sendiri di tanah rancangan Felda. Kerajaan Negeri juga sudah mengenalpasti tanah-tanah milik Kerajaan Negeri di tanah rancangan Felda lain bagi tujuan ini dan sedang dalam proses pengambilan semula.

Geran hak milik kepada 114 pemilik rumah terbengkalai

Selesai program di Felda Palong 12, Tok Min bergegas ke Kuala Pilah untuk sebuah majlis penyerahan geran hak milik kepada 114 pemilik rumah terbengkalai Taman Perpaduan Heights. Perumahan ini telah terbengkalai sejak tahun 2006 dan gagal diselesaikan zaman berzaman.

Akhirnya selepas 16 tahun bergelumang duka, para pembeli mendapat pembelaan dari Kerajaan Negeri Pakatan Harapan dengan pemberian sebidang tanah kepada setiap pembeli dengan ukuran 3,000 hingga 5,000 kaki persegi di Juasseh mengikut jenis rumah yang dibeli.

Ternyata Tok Min membuktikan komitmen terhadap permasalahan rakyat khususnya mereka yang teraniaya apabila dengan penuh hikmah mencari jalan terbaik di atas kapasiti selaku pentadbir Kerajaan Negeri. Mandat yang diberi tidak disia-siakan, masalah rakyat sebolehnya diselesai tanpa kepentingan pihak tertentu serta bersifat menyeluruh dengan mengambil kira aspek undang-undang dan beri manfaat untuk jangka masa panjang.

Bangunan Baharu Kolej Yayasan Negeri Sembilan

Seterusnya pada sebelah petang, Tok Min merasmikan bangunan baharu Kolej Yayasan Negeri Sembilan (KYNS) yang mendapat perhatian Kerajaan Negeri. Bangunan asal kolej tersebut sangat uzur, dibina daripada kayu dan sebahagiannya telah mula reput. Tok Min dalam lawatan sebelum ini melihat keadaan institusi tersebut sangat tidak kondusif untuk mendidik pelajar.

Justeru itu, di atas manifestasi komitmen Kerajaan Negeri untuk menyediakan infrastruktur berkualiti kepada rakyat Negeri Sembilan, Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM10 juta ketika Belanjawan 2020 dan mulai hari ini, pelajar mampu mentelaah ilmu pengajian dengan kondisi fasiliti terbaik untuk menghasilkan graduan yang berkemampuan dan lebih berdaya saing.

Tok Min di akhir ucapannya menyatakan betapa ruginya kerajaan terdahulu tidak mengambil peluang untuk menaiktaraf institusi ini dan menyediakan tempat yang terbaik buat anak-anak yang menuntut di sini. Itulah kepekaan dan sikap cakna yang ada pada seorang Menteri Besar Negeri Sembilan.

Dari penyelesaian masalah warga Felda kepada penyelesaian masalah warga teraniaya kepada penyelesaian kedaifan infrastruktur pengajian anak-anak, Alhamdulillah selesai tiga agenda rakyat hari ini dengan kepuasan berjaya mengangkat martabat rakyat.

Usaha yang berterusan ini bukan suatu yang mudah, ia memerlukan komitmen padu yang akhirnya membuahkan hasil kejayaan untuk kesenangan rakyat. Tahniah Tok Min dan Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan.

EDY NOOR REDUAN
Aktivis Blogger

Show More

Related Articles

Back to top button