BeritaProgram

Wujud peluang pekerjaan, basmi kemiskinan: FAIZ

TAMPIN: Calon Pakatan Harapan Parlimen Tampin, YB Faiz Fadzil mahu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk Tampin.

Faiz berkata, sekiranya beliau dipilih sebagai Ahli Parlimen Tampin, beliau akan berjuang untuk memastikan wujudnya kerjasama antara agensi kerajaan dan swasta bagi meningkatkan lebih banyak peluang pekerjaan yang akhirnya dapat membasmi kemiskinan.

“Pertanian berasaskan tanaman dan penternakan perlu diberikan perhatian untuk tujuan ini.

“Saya juga akan berjuang untuk mendesak kerajaan meningkatkan bantuan modal dan bimbingan bagi membantu golongan rentan dan berpendapatan rendah untuk terlibat dalam perniagaan bagi meningkatkan pendapatan mereka.

“Usahawan PKS pula harus dibantu untuk mengembangkan operasi untuk lebih berdaya saing,” ujar beliau.

Harga barang mahal, tekan hidup rakyat

Menurut Faiz lagi, Tampin juga berhadapan masalah kemiskinan yang meruncing.

“Berdasarkan data daripada Jabatan Perangkaan Malaysia, separuh (50 peratus) isi rumah Tampin berpendapatan bawah RM4,325.

“Malah, pendapatan penengah isi rumah di Tampin sebenarnya lebih rendah pendapatan penengah di dalam Negeri Sembilan.

“Pendapatan yang rendah ini tidak mampu menampung harga barang yang mahal dan ini menekan kehidupan rakyat termasuk di Tampin,” jelas Faiz.

Faiz berkata, kemiskinan rakyat dalam negara hari ini semakin meruncing akibat dihimpit dengan kos sara hidup yang tinggi dan kuasa beli yang kecil.

“Inflasi makanan melonjak teruk ke paras 7.2 peratus yang menyebabkan inflasi negara sekarang mencecah kadar 4.7 peratus.

“Kesannya jumlah rakyat yang tergolong dalam kumpulan B40 bertambah dengan jumlah lebih 600,000 kumpulan M40 tergelincir kepada kumpulan B40,” kata beliau.

Show More

Related Articles

Back to top button