Berita

Terima kasih ‘frontliners’: MB Negeri Sembilan

CHEMBONG: Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun merakamkan penghargaan dan mengucapkan terima kasih kepada semua ‘frontliners’ yang bertungkus lumus memastikan keselamatan rakyat ketika pandemik Covid-19.

Aminuddin melawat ‘frontliners’ di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Perintah Kawalan Pergerakan DiPerketatkan (PKPD) Chembong yang terletak di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Chembong petang Selasa.

Beliau turut menyantuni ‘frontliners’ di Pos Sekatan Jalan Raya (SJR) di sempadan Daerah Rembau dan Seremban.

“Saya sempat meluangkan masa bersama para petugas di PKTK Chembong serta SJR Rembau-Seremban dan menyampaikan sumbangan makanan kepada semua ‘frontliners’.

“Semoga segala penat lelah dibalas dengan sebaik-baik ganjaran oleh Allah SWT, Insyah Allah,” kata Aminuddin.

Aminuddin berkata, PKPD Chembong melibatkan Taman Chembong Utama, Taman Chembong Jaya, Taman Setia Raja dan Taman KSNS bermula 19 Julai lalu sehingga 1 Ogos 2021.

Seramai 4,486 penduduk daripada 1,219 buah rumah terlibat di dalam kawasan PKPD ini. Setakat ini, sebanyak 86 kes positif Covid-19 telah dikesan hasil saringan yang dijalankan.

“Saya difahamkan bahawa penduduk di dalam kawasan PKPD mempunyai akses kepada bekalan makanan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sembilan dan Penyelaras DUN Chembong.

“Mereka juga dibenarkan pergi ke kedai yang terletak di dalam kawasan yang sama bagi membeli barangan keperluan.

“Sekiranya terdapat penduduk yang dikenakan perintah kuarantin, bekalan makanan basah akan disalurkan oleh para petugas,” kata Aminuddin yang juga ADUN Sikamat.

 

Show More

Related Articles

Back to top button