Berita

Tidak pernah terfikir boleh dapat status hak milik kekal

Hadiah paling besar dalam hidupnya

SEREMBAN: Kegembiraan yang tidak terhingga jelas terbayang di wajah empat pemilik kediaman dari Taman Marida, Senawang dan Gedung Lalang 162, Ampangan apabila menerima surat kelulusan permohonan penukaran status tanah dari pegangan pajakan 99 tahun (leasehold) kepada hak milik kekal (freehold) dari Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun.

Encik Wong Tian Song, 51, dari Taman Marida berkata, ini hadiah paling besar dalam hidupnya.

“Menukar status tanah kediaman dari pegangan pajakan 99 tahun kepada hak milik kekal adalah satu perkara yang saya fikir sangat mustahil pada mulanya.

“Ketika Pakatan Harapan menjanjikan perkara ini dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), saya seperti tidak percaya dan ada satu perasaan, tidak mungkin inisiatif ini boleh dilakukan.

“Hari ini ia menjadi kenyataan dan saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Dato’ Seri Aminuddin Harun dan Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan.

“Ini bukan saja satu sejarah di Negeri Sembilan, malah di Malaysia kerana Negeri Sembilan menjadi negeri yang pertama menukar status tanah pegangan pajakan 99 tahun kepada hak milik kekal,” kata Wong dengan penuh emosi.

Puan Noraini Kudus, 51, pula berkata, beliau kini boleh menarik nafas lega setelah permohonan beliau telah diluluskan.

“Rumah ini harta saya sekeluarga. Memang ada kerisauan selama ini, sekiranya tamat tempoh pegangan pajakan, apa status rumah selepas itu.

“Namun, hari ini saya boleh menarik nafas lega apabila mendapat kelulusan penukaran status tanah dari pegangan pajakan 99 tahun kepada hak milik kekal.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar Negeri Sembilan dan Kerajaan Negeri Sembilan di atas inisiatif dan insentif ini,” ujar Noraini.

Turut menerima surat kelulusan ialah Encik Zulkarnain Zakaria dari Gedung Lalang 162 dan Encik Mairuz Kira dari Taman Marida.

Show More

Related Articles

Back to top button