Berita

Tiga sekeluarga menumpang tidur di gerai makan, dibantu Taufek

PAROI: ADUN Paroi, YB Dato’ Mohd Taufek Abdul Ghani telah menerima maklumat daripada orang ramai bahawa Encik Baharudin Abdul Rahman, 57, bersama dua orang anaknya berumur 10 dan 12 tahun menumpang tidur di bilik kecil, di belakang sebuah gerai makan di Medan Selera Taman Seri Mawar, Senawang.

“Saya bersama agensi kerajaan yang bertanggungjawab iaitu Bahagian Perumahan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Pejabat Daerah Seremban dan Pejabat Baitulmal Daerah Seremban telah turun padang bagi membantu keluarga ini.

“Saya dengan kerjasama agensi berkenaan telah menyediakan sebuah rumah di Rumah Pangsa Senawang 1.

“Saya juga telah membantu menguruskan segala kos berkaitan pemindahan rumah seperti deposit sewa rumah, deposit bekalan elektrik (TNB) dan air (SAINS).

“Diharapkan Encik Baharudin serta anak-anak beliau yang masih kecil dapat memulakan kehidupan baharu yang lebih selesa dan sempurna di kediaman yang telah disediakan,” kata Mohamad Taufek.

Menurut Mohamad Taufek, selain bantuan unit kediaman yang lebih baik, beliau juga telah berbincang dengan pihak Sekolah Kebangsaan Senawang bagi memastikan proses pembelajaran dan pengajaran anak-anak Encik Baharudin secara atas talian tidak akan terjejas.

“Sehubungan itu, di atas jasa baik dan keprihatinan, pihak sekolah juga telah menyumbangkan sebuah peranti mudah alih bagi memudahkan anak-anak Encik Baharudin terus mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR).

“Saya dengan penuh rendah diri mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh pihak yang terlibat dalam memastikan keluarga Encik Baharudin dapat memulakan kehidupan baru yang lebih sempurna bersama anak-anak beliau,” ujar Mohamad Taufek.

Show More

Related Articles

Back to top button