Berita

Tindakan akan diambil atasi masalah banjir di Nilai

NILAI: Beberapa tindakan yang sewajarnya akan diambil untuk mengatasi masalah banjir di Nilai,” kata ADUN Nilai, YB J.Arul Kumar.

Arul Kumar berkata, hujan lebat yang berterusan lebih tiga jam semalam, menyebabkan sebahagian kawasan di Pekan Nilai dan Taman Ros Merah di sini dilanda banjir kilat dan beberapa kedai serta rumah dinaiki air.

Kejadian banjir ini disebabkan oleh pertembungan tiga batang sungai, iaitu Sungai Batang Nilai, Sungai Sekah dan Sungai Batang Labu yang menyebabkan air tidak dapat mengalir dengan sempurna.

“Isu ini memerlukan satu perancangan secara keseluruhan untuk mengelakkan banjir berlaku, disebabkan air hujan yang banyak daripada beberapa kawasan berdekatan termasuk dari Bandar Baru Nilai.

“Hanya satu perancangan yang lengkap dan menyeluruh sahaja mampu menyelesaikan isu ini untuk jangkamasa panjang.

“Oleh itu, isu ini saya sentiasa beri perhatian dan yang terbaru saya telah meminta Majlis Bandaraya Seremban (MBS) untuk memberikan keutamaan dalam penyelesaian isu banjir di Pekan Nilai dalam Mesyuarat Kajian Cadangan Pelan Tindakan Khas Pembaharuan Pekan Nilai baru-baru ini,” jelas Arul Kumar.

Sementara itu, Arul Kumar berkata, kerja-kerja menaik taraf sistem perparitan di Taman Bunga Raya dan Taman Mantin sedang berjalan lancar.

“Apabila projek ini siap, ia akan melancarkan lagi sistem perparitan dan mengelakkan kejadian banjir di taman perumahan ini.

“Saya sentiasa cuba menyelesaikan aduan penduduk setempat agar ia dapat memberikan keselesaan kepada mereka semua,” katanya.

Turut hadir, Ahli Majlis Bandaraya Seremban, Cik Joan Yong dan Pembantu Ahli Majlis, Encik Muruga Periyannan.

Show More

Related Articles

Back to top button