Berita

Tuanku Muhriz sukacita dengan pencapaian Kerajaan Negeri Sembilan

SEREMBAN: Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir dalam titah ucapan perasmian Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal Ketiga, Dewan Undangan Negeri Ke-14 kelmarin, melahirkan perasaan sukacitanya dengan pelbagai kejayaan dan pembangunan yang dikecapi rakyat, hasil perancangan dan hala tuju yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri, di bawah pimpinan Dato’ Seri Aminuddin Harun yang telah memulakan beberapa inisiatif baru dan penambahbaikan dalam jentera pentadbiran Kerajaan.

Tuanku Muhriz mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Negeri Sembilan kerana berjaya memperoleh kutipan hasil sebanyak RM556 juta pada tahun 2019. Kutipan hasil ini merupakan nilai kutipan tertinggi dalam sejarah pentadbiran negeri ini dan melepasi sasaran yang dibajetkan iaitu RM430 juta.

“Ini membuktikan bahawa hasrat Kerajaan Negeri semasa melaksanakan belanjawan tahun 2019 bertemakan “Memperkayakan Hasil, Memakmurkan Kekayaan” telah berjaya direalisasikan.

“Beta berharap pencapaian yang cemerlang ini akan diteruskan bagi tahun 2020 dengan jangkaan hasil Kerajaan Negeri sebanyak RM457 juta berdasarkan belanjawan yang telah disediakan,” titah Tuanku Muhriz.

Tuanku Muhriz juga menyatakan keprihatinan Kerajaan Negeri dengan keperluan rakyat dan telah menunjukkan komitmen mereka dengan adanya beberapa inisiatif dan insentif yang telah dibentangkan semasa pembentangan Belanjawan Negeri Sembilan Tahun 2020 pada tahun lepas.

Melalui Belanjawan Berimbang 2020, sebanyak RM457 juta bagi tujuan mengurus telah disediakan oleh Kerajaan Negeri. Pelbagai inisiatif dan insentif telah diatur untuk semua peringkat rakyat, baik untuk anak kecil melalui galakan penubuhan pusat asuhan atau tadika hinggalah kepada bantuan peralatan tujuh kesihatan untuk pesakit yang kurang berkemampuan.

“Pada masa yang sama, bantuan kewangan sebanyak RM3 juta yang telah diperuntukkan untuk anak-anak di Sekolah Tahfiz Swasta, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil dan Sekolah Swasta pada tahun 2019 telah diteruskan di samping peluasan peruntukan kepada bantuan penyelenggaraan kemudahan sekolah di seluruh Negeri Sembilan.

“Golongan wanita dan belia selaku tunjang pembangunan Negara dan Negeri juga sentiasa menjadi keutamaan Kerajaan untuk terus dibimbing dan disantuni. Ini jelas terbukti apabila sebanyak RM1.5 juta disediakan untuk program Power House Wanita Gemilang (PH GEM) dan sebanyak RM1 juta untuk bantuan ibu tunggal yang diberikan secara one-off.

“Manakala sebanyak RM100 ribu telah diperuntukkan bagi mengisi Tabung Belia Harapan (TABAH) yang disediakan untuk program pembangunan dan latihan belia. Oleh itu, segala perancangan yang baik ini hendaklah dilaksanakan dan mencapai objektif kepada golongan penerima yang disasarkan,” titah Tuanku Muhriz lagi.

 

Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button