Berita

Usaha Kerajaan negeri Krisis Covid 19

SEREMBAN: Usaha Kerajaan Negeri Sembilan menangani krisis Covid 19 di bawah kepimpinan Menteri Besarnya, Dato’ Seri Aminuddin Harun mendapat perhatian Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir.

Tuanku Mukhriz dalam titah ucapan perasmian Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal Ketiga, Dewan Undangan Negeri Ke-14;  menyentuh usaha Kerajaan Negeri Sembilan menangani krisis Covid 19 dengan memperkenalkan inisiatif-insiatif untuk meringankan beban rakyat.“Tindakan proaktif telah diambil oleh Kerajaan Beta dengan menyediakan peruntukan berjumlah RM18.74 juta ke dalam Akaun Amanah Bencana Negeri bagi membiayai pelbagai program bantuan kepada rakyat dan barisan hadapan.

“Antara bantuan yang telah dan sedang disalurkan adalah bantuan makanan asas kepada seramai 39,995 orang Ketua Isi Rumah (KIR), bantuan tunai RM300 secara one-off kepada seramai 10,000 orang penjaja/peniaga kecil berdaftar di seluruh kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), dan bantuan tunai RM300 kepada 3,333 orang pemandu teksi berdaftar, ehailing/grab dan pemandu kereta sewa.

“Selain itu, Kerajaan Negeri juga turut menyumbang sebanyak RM500 ringgit kepada setiap keluarga pesakit yang dikesan positif COVID-19. Bagi meringankan lagi beban rakyat, Kerajaan Negeri mengecualikan bayaran sewa rumah PPR kepada seramai 4,740 orang penyewa untuk bulan Mac dan April 2020 yang akan menyebabkan kehilangan hasil negeri sebanyak RM 1.24 juta.“Bagi membantu menjamin kesinambungan rantaian bekalan makanan di Negeri Sembilan, sebanyak RM100 ribu telah disumbangkan kepada FAMA untuk terus menjalankan aktiviti pemudahcara antara usahawan tani dengan pengguna,” titah Tuanku Muhriz.

Usaha Kerajaan Negeri membantu kontraktor kecil Bumiputera dan meringankan beban kewangan penjawat awam turut mendapat perhatian Tuanku Muhriz dalam titah ucapannya.Bagi membantu kontraktor kecil Bumiputera, Kerajaan Negeri telah meluluskan sebanyak 1,108 projek penyelenggaraan jalan di bawah Akaun Amanah Penyelenggaraan Jalan Raya Negeri (MARRIS) yang melibatkan 4 peruntukan sebanyak RM269.44 juta.

“Selain daripada projek MARRIS, Beta dimaklumkan bahawa sebanyak RM5 juta peruntukan Pakej Rangsangan Ekonomi telah diluluskan bagi melaksanakan sebanyak 65 projek pembangunan. Adalah diharapkan, melalui peruntukan projek pembangunan ini, akan dapat membantu lebih ramai kontraktor kecil terutamanya kontraktor Bumiputera di samping membantu perniagaan lain dalam rantaian sektor pembinaan seperti ‘hardware’, kuari dan pasir.“Bagi menghargai penjawat awam, Kerajaan Beta telah mengumumkan Bantuan Khas Kewangan Tahun 2020 kepada semua anggota Perkhidmatan Awam Jabatan Negeri dan semua kakitangan Pihak Berkuasa Tempatan dan Badan Berkanun Negeri dengan kadar RM1,000 seorang.

“Pembayaran berjumlah RM6.4 juta ini akan dibuat pada 8 Mei ini. Beta berharap agar pemberian ini dapat meringankan beban kewangan penjawat awam dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” titah Tuanku Muhriz.

 

Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button