Berita

VEERAPAN: 368 warga emas uzur di Tampin telah divaksin

TAMPIN: Seramai 368 warga emas termasuk pesakit terlantar menerima vaksin di rumah masing-masing menerusi Program ‘Outreach’ Vaksinasi Covid-19 di Daerah Tampin.

Exco Kesihatan Negeri Sembilan, YB Veerapan Superamaniam berkata, program ‘Outreach’ Vaksinasi ini dapat memastikan tiada lapisan masyarakat yang tercicir bagi mendapatkan vaksinasi Covid-19 dan pendekatan ini mampu membentuk imuniti kelompok secepat mungkin.

“Jumlah yang tertinggi penerimaan vaksin diberikan melalui program Outreach adalah di Balai Raya Desa Permai iaitu seramai 101 orang pada 15 Julai lalu.

“Pasukan Mobile Vaccination Team ini terdiri daripada seorang pegawai perubatan, jururawat, penolong pegawai perubatan serta sukarelawan bagi memberikan vaksin secara bergerak.

“Pasukan pemberian vaksin ini tetap mematuhi segala SOP yang ditetapkan semasa menjalankan kewajipan yang digariskan.

“Program Outreach Vaksinasi Covid-19 di Daerah Tampin diteruskan ke kawasan Gugusan Felda Bukit Rokan, Bukit Rokan Utara, Felda Bukit Jalor, Gugusan Felda Jelai, Perkampungan Orang Asli dan kampung tradisi,’ kata Veerapan.

Menurut Veerapan yang juga ADUN Repah, kesemua warga emas yang menetap di Pusat Aktiviti Warga Emas(Pawe), Bangunan Warga Emas Klinik Kesihatan Air Kuning Selatan, Bangunan Warga Emas Klinik Kesihatan Jelai, Balai Raya Kampung Tengah Gemencheh, Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Tampin, PDK Gemas, PDK Pasir Besar, PDK Jelai, Jelai, Tampin, Gemas, Air Kuning Selatan dan Gemencheh telah menerima vaksin menerusi kaedah pemberian vaksin bergerak dari rumah ke rumah.

Show More

Related Articles

Back to top button