Berita

Veerapan desak Kerajaan Pusat tambah bekalan vaksin untuk Negeri Sembilan

Kerajaan Negeri Sembilan telah menulis kepada Pfizer, Sinovac, Moderna dan Sinopham untuk membeli vaksin, tetapi tiada jawapan

SEREMBAN: Exco Kesihatan Negeri Sembilan, YB Veerapan Superamaniam hari ini mendesak Kerajaan Persekutuan agar menambah bekalan vaksin untuk Negeri Sembilan.

Veerapan berkata, Kerajaan Negeri Sembilan masih belum menerima jawapan yang positif daripada Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, YB Khairy Jamaluddin berhubung jaminan bekalan vaksin.

“Kita mempunyai kapasiti dan kemudahan dalam pemberian vaksin kepada rakyat dengan kapasiti 14,000 orang sehari.

“Malah kita memiliki pegawai kerajaan dalam fasiliti kesihatan sedia untuk mengendalikan program vaksinasi setiap hari termasuk pada hari Sabtu dan Ahad.

“Kita ada Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang banyak di Negeri Sembilan dan sebanyak 59 PPV akan beroperasi selewat-lewatnya hujung Jun ini. Kita mahukan vaksin tambahan untuk Negeri Sembilan,” Veerapan.

Veerapan berkata, Kerajaan Negeri juga akan membuka sebuah mega PPV dan lokasi yang dicadangkan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Menurut Veerapan, Covid Immunization Task Force (CiTF) Negeri Sembilan telah menghantar surat kepada Kerajaan Pusat dan semasa mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN); Kerajaan Negeri Sembilan juga telah memohon tambahan vaksin dengan kadar segera.

“Kerajaan Pusat perlu jawab isu ini dengan segera. Kerajaan Pusat kata Kerajaan Negeri boleh membeli vaksin tetapi kesemua vaksin yang diluluskan perlu melalui Kerajaan Pusat.

“Kerajaan Negeri Sembilan telah menulis kepada Pfizer, Sinovac, Moderna dan Sinopham untuk tujuan pembelian vaksin, tetapi masih tiada jawapan.

“Vaksin Sputnik digunakan di India dan kes Covid-19 turun secara mendadak. Kerajaaan Persekutuan perlu luluskan lebih banyak jenis vaksin sekiranya memenuhi syarat dan sekiranya ingin capai sasaran 80 peratus imuniti berkelompok di Malaysia,” ujar Veerapan lagi.

Sementara itu, Veerapan menasihatkan pemimpin kerajaan mahupun pembangkang diminta bantu daftarkan rakyat untuk menerima vaksin.

“Sekiranya ada warga emas tak dapat datang ke PPV kerana masalah pengangkutan, aturkan pengangkutan untuk mereka,” kata Veerapan.

Show More

Related Articles

Back to top button