Berita

Veerapan desak Zuraida bangkitkan segera kes anak tidak sah taraf

Tanpa dokumen yang sah, masa depan anak-anak ini akan gelap

SEREMBAN: Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, YB Veerapan Superamaniam mendesak Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin supaya membangkitkan segera kes berhubung kewarganegaraan seorang anak tidak sah taraf yang gagal dalam kes permohonan di mahkamah; kepada menteri yang bertanggungjawab dan dalam mesyuarat kabinet.

Veerapan berkata, beliau menyambut baik kenyataan Zuraida yang mahu membangkitkan kes tersebut kepada menteri bertanggungjawab atau kabinet.

“Namun isu ini perlu diselesaikan dengan kadar segera. Bukan kes ini sahaja tetapi ada banyak lagi kes dengan keadaan (permasalahan) yang sama.

“Kehidupan anak tidak sah taraf sering mendapat perhatian kerana situasi yang dihadapi mereka tidak seperti anak-anak yang lain.

“Meskipun ketika kelahiran dan seterusnya zaman kanak-kanak membesar masih ada insan yang sedia membantu, tetapi nasib atau masa depan mereka masih tidak menentu apabila memasuki alam dewasa” kata Veerapan.

Veerapan berkata, tiada anak yang patut dinafikan hak kewarganegaraan atas dasar tidak sah taraf di Malaysia, hal ini akan membawa persoalan terhadap anak-anak ini di pelbagai peringkat masa.

“Saya berharap, dalam perkara ini kita perlu melihat dari sudut kemanusiaan. Apa pun masalah yang berlaku kepada anak itu, kerajaan perlu mempermudahkan kerakyatan kepada mereka.

“Tanpa dokumen yang sah, masa depan anak-anak ini akan gelap dan akhirnya memberi kesan langsung kepada masyarakat dan negara,” ujar Veerapan yang juga ADUN Repah.

 

 

Foto: Nabil Syafiq & buenafeclinic.com

Show More

Related Articles

Back to top button