BeritaMenarik

152 siswazah cemerlang terima sumbangan RM760,000 dari Kerajaan Negeri Sembilan

SEREMBAN: Seramai 152 orang Siswazah Cemerlang Kelas Pertama menerima RM5,000 setiap seorang daripada Kerajaan Negeri Sembilan.

148 orang penerima terdiri daripada graduan Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan empat orang graduan dari institusi pengajian tinggi luar negara (United Kingdom).

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, sumbangan tersebut merupakan penghargaan serta pengiktirafan Kerajaan Negeri kepada anak-anak negeri yang cemerlang dalam pengajian tinggi.

“Aktivis hak asasi kulit hitam Amerika Malcolm X atau Haji Abdul Malik el- Shabbaz, pernah berkata, ‘Education is the passport to the future, for tomorrow belongs to those who prepare for it today’.

“Ertinya pendidikan adalah pasport untuk masa depan, kerana hari esok adalah milik mereka yang mempersiapkannya pada hari ini.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri sentiasa percaya kepada agenda pendidikan sebagai agenda utama mencerdaskan anak bangsa dan mempersiapkan mereka untuk berhadapan dengan cabaran masa hadapan,” kata Aminuddin.

Aminuddin turut menambah, Negeri Sembilan dalam Belanjawan 2024 memperuntukkan sejumlah RM 11.8 juta di bawah Teras Pendidikan dan Modal Insan.

“Sehubungan itu pihak Yayasan Negeri Sembilan telah menyediakan pinjaman pendidikan kepada siswazah yang hendak menyambung pengajian di peringkat Sarjana dan PhD.

“Sekiranya ada pelajar yang dalam proses menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi, datanglah ke Yayasan Negeri Sembilan agar mereka dapat membantu anda,” kata Aminuddin.

Aminuddin berkata demikian di Majlis Anugerah Siswazah Cemerlang Kelas Pertama Negeri Sembilan (Sesi Pertama Tahun 2024) di D’Tempat Country Club, Bandar Sri Sendayan.

Show More

Related Articles

Back to top button