Berita

Veerapan dukacita klinik swasta di Tampin tiada inisiatif menjadi PPV

TAMPIN: Exco Kesihatan Negeri Sembilan, YB Veerapan Superamaniam melahirkan rasa dukacita kerana kebanyakan klinik swasta di Tampin tidak mempunyai tanggungjawab bersama dalam membantu kerajaan untuk bertindak sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Veerapan berkata, di Seremban banyak klinik dan hospital swasta mengambil bahagian dalam program (PICK) berbanding klinik swasta di Tampin.

Penglibatan klinik swasta di Tampin dalam program (PICK) akan dapat membantu usaha Kerajaan Negeri Sembilan melajukan lagi program vaksinasi penduduk di Daerah Tampin.

“Doktor-doktor dari klinik swasta di Tampin boleh membantu dalam usaha ‘Mobile Outreach’ iaitu program kerajaan untuk mevaksinkan penduduk di kawasan pendalaman seperti kawasan Felda, ladang dan perkampungan Orang Asal.

“Langkah itu dapat meningkatkan akses vaksin dan mempercepat proses mencapai imuniti kelompok. Vaksin yang digunakan adalah sama dengan vaksin di PPV, yang juga dibeli dan dibekalkan oleh kerajaan.

“Sektor swasta juga akan memberikan vaksinasi percuma kepada orang ramai berdasarkan senarai My Sejahtera, dan vaksin yang dibekalkan tidak boleh dibeli oleh orang ramai,” ujar Veerapan.

PPV klinik swasta membolehkan kadar vaksinasi lebih cepat

Veerapan berkata, peranan klinik swasta sebagai PPV ketika ini disifatkan membantu mencapai sasaran kerajaan dan juga adalah salah satu langkah untuk mengurangkan kesesakan di sesuatu kawasan sahaja.

“Proses suntikan di klinik-klinik swasta juga akan mengikut SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan kaedah yang digunakan oleh PPV Awam yang sedia ada.

“Klinik Swasta perlu berganding bahu dengan Kerajaan Negeri dalam menjayakan Fasa Kedua dan Fasa Ketiga Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan(PICK).

“Saya berharap dengan adanya penglibatan klinik swasta dalam Program Vaksinasi Covid-19, ia membolehkan lebih ramai penduduk di Tampin menerima suntikan vaksin dengan kadar yang lebih cepat,” kata Veerapan yang juga ADUN Repah.

 

Show More

Related Articles

Back to top button