Berita

Veerapan: JAS pantau tumpahan bahan kimia di Senawang

SEREMBAN: Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan YB Veerapan Superamaniam berkata, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan akan terus memantau pencemaran bau yang membabitkan kejadian tumpahan kimia dari sebuah kilang di Kawasan Perusahaan Senawang baru-baru ini.

Veerapan berkata, pasukan penyiasat JAS Negeri Sembilan sudah mengarahkan pihak kilang untuk melakukan kerja-kerja pembersihan di sepanjang longkang dalam bangunan kilang dan longkang awam yang dicemari bahan tumpahan dengan serta merta.

Seterusnya, pasukan penyiasat juga memaklumkan kepada pihak kilang bahawa pengendalian bahan pembersihan tumpahan terbabit hendaklah diuruskan mengikut Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Berkala) (PPKAS (BT)) 2005.

“Selain kualiti udara, kebimbangan juga berlaku terhadap sumber air di kawasan berhampiran. Lokasi kilang terbabit berada di bahagian hulu Sungai Simin sebelum memasuki Sungai Linggi yang mana terdapat Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Linggi pada jarak kira-kira 20 kilometer.

“Pensampelan bahan tumpahan iaitu ‘Methyl Methacrylate’ dari tangki Intermediate Bulk Container (IBC) dan juga dari dalam longkang awam di luar bangunan kilang juga dibuat.
“Hasil siasatan yang dilakukan terhadap kandungan air dalam longkang awam pada jam 6.00 petang menunjukkan bacaan pH ialah pada paras lima namun berubah pada paras tujuh pada jam 8.00 malam.

“Pemeriksaan terhadap pengumpulan sisa pembersihan bahan tumpahan oleh pihak kilang adalah sebanyak satu jumbo bag (200kg) dan satu tangki IBC,” jelas Veerapan.

Menurut Veerapan, pasukan penyiasat juga menjalankan pengawasan kualiti udara dengan menggunakan Cerexms Gas Analyzer pada jarak sekitar tiga kilometer kerana terdapat beberapa taman perumahan yang terletak berhampiran di lokasi kejadian.

“Hal ini kerana, penduduk di dalam kawasan Taman Bandar Senawang dan kawasan sekitarnya mengalami sesak nafas, muntah dan sakit kepala selepas terhidu bau kimia susulan pencemaran dari kilang plastik ini.

“Arahan telah dikeluarkan kepada pihak kilang di bawah Seksyen 31 dan 37, AKAS 1974 supaya menjalankan kerja pembersihan tumpahan di dalam dan luar premis sehingga tiada lagi limpahan bahan tercemar yang menyebabkan pencemaran udara berlaku di kawasan tersebut”, ujar Veerapan.

Veerapan yang juga ADUN Repah berkata, penyediaan kertas siasatan akan dibuka sekiranya hasil pemeriksaan pasukan penyiasat JAS Negeri Sembilan mendapati berlaku kecuaian sehingga menyebabkan pencemaran alam sekitar berlaku dan boleh didakwa di bawah AKAS 1974.

Show More

Related Articles

Back to top button