Berita

Veerapan: Kerajaan Negeri meminta Tamarai Holding tarik balik tuntutan ganti rugi RM30 juta

Jumlah besar perlu dibayar peserta Gatco jika Kerajaan Negeri tidak berunding dengan Tamarai Holding

Merujuk kepada sidang media oleh PSM dan beberapa peserta Gatco di Kuala Lumpur baru-baru ini; tuduhan yang tidak berasas telah dilemparkan ke atas saya dan Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan.

Justeru, pada hari ini saya ingin menceritakan satu lagi kisah benar berkenaan isu Gatco.

Kita semua hanya tahu bahawa peserta Gatco yang ke Mahkamah untuk menuntut hak ke atas lapan ekar dan akhirnya mereka ini telah kalah kes tersebut.

Seterusnya, Mahkamah melalui perintah bertarikh 17 Oktober 2016 melalui guaman Sibil No:22NCVC-1484-12/2012 yang dibawa oleh Kumpulan kedua melalui Jawatankuasa Kedua diketuai oleh Encik John telah juga memerintahkan untuk beberapa perintah seperti dalam lampiran “A”.

Selain itu, Mahkamah juga telah memerintahkan peserta Gatco membayar kos dalam beberapa tindakan yang mereka kalah. Seterusnya, Mahkamah juga memerintah perintah untuk bayar gantirugi kepada Tamarai Holding Sdn Bhd dan juga menyampaikan salinan penyataan akaun berkaitan pokok-pokok yang telah dikeluarkan daripada kawasan ladang Getah secara haram.

Saya dimaklumkan bahawa jumlah taksiran yang dianggarkan yang perlu dibayar oleh peserta-peserta Gatco ini adalah lebih kurang RM30 juta dan kos guaman lebih kurang RM100,000.

Saya dan Ahli Jawatankuasa bagi kes Gatco telah memanggil dan membincangkan kes ini dengan pihak Tamarai Holding dan peserta Gatco. Dalam pertemuan itu, kami telah meminta pihak Tamarai Holding Sdn Bhd untuk menarik balik tuntutan gantirugi dan kos yang dituntut daripada peserta Gatco.

Ini adalah suatu jumlah yang besar yang perlu dibayar oleh peserta Gatco sekiranya pihak Kerajaan Negeri tidak membincangkan kes ini dengan pihak Tamarai Holding Sdn Bhd atas dasar ‘win-win situation’.

Ini satu lagi bukti Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan telah membantu peserta Gatco dengan sebaik mungkin dalam pelbagai aspek berkaitan isu Gatco ini.

Sekian, terima kasih.

YB Veerapan Superamaniam

Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan

ADUN Repah

22 Disember 2020

Show More

Related Articles

Back to top button