Berita

Veerapan: Kerja pembersihan tumpahan minyak di Port Dickson giat dijalankan

SEREMBAN: Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan KePenggunaan, YB S.Veerapan berkata, kerja-kerja pembersihan tumpahan minyak di Pantai Cermin, Port Dickson sedang giat dijalankan.

“Saya telah bermesyuarat dengan Pegawai Daerah Port Dickson dan mesyuarat telah memutuskan untuk melantik kontraktor pembersihan bagi mengelakkan pencemaran tersebut merebak ke kawasan lain.

“Buat masa ini, kerja-kerja pembersihan telah mula dijalankan di sekitar pantai yang terjejas.

“Walaubagaimanapun, tempoh pembersihan dianggarkan mengambil masa sehingga 2 minggu kerana kerja pembersihan hanya boleh dilakukan sewaktu air surut,” kata Veerapan.

Sampel telah dihantar ke Jabatan Kimia untuk menentukan komposisi bahan buangan

Menurut Veerapan, Jabatan Alam Sekitar telah menjalankan persampelan di kawasan pantai yang tercemar dan di tengah laut.

“Sampel-sampel ini telah dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia bagi tujuan analisis dan penentuan ciri serta komposisi bahan buangan itu.

“Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 27, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan seksyen ini memperuntukkan denda tidak lebih daripada lima ratus ribu ringgit atau penjara tidak lebih daripada lima tahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan,” ujar Veerapan.

Veerapan mengalu-alukan orang ramai untuk melaporkan sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 atau email ke aduan_k@doe.gov.my dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my.

Show More

Related Articles

Back to top button