Berita

Veerapan: Latar belakang dan sejarah tanah Gatco

Bahagian 1

Baru-baru ini ada pihak yang mengelirukan rakyat dan membuat tuduhan bahawa Kerajaan Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan telah mengkhianati peneroka Gatco. Kononnya Kerajaan PH Negeri Sembilan telah menjanjikan lapan ekar kepada Peneroka Gatco.

Keputusan untuk memberikan sama ada lapan ekar atau empat ekar atau dua ekar perlulah datang dari Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dengan sebulat suara dan bukannya dari individu atau sekumpulan individu dan sekiranya ada pandangan sebegitu; maka itu adalah pandangan peribadi mereka.

Sesungguhnya, saya percaya bahawa pihak yang melemparkan tuduhan yang tidak berasas ini sebenarnya tidak mencerminkan diri mereka terlebih dahulu khususnya pihak pembangkang dan parti lain.

Saya ingin tegaskan bahawa isu tanah Gatco ini berlarutan sejak 42 tahun yang lalu. Isu ini bukan suatu isu yang asing kepada penduduk Gatco dan di dalam Daerah Jempol.

Pada masa itu, ramai pemimpin PH (pembangkang ketika itu) yang bersuara dan berjuang untuk penduduk Gatco. Malah pemimpin PH juga terlibat bersama dalam demonstrasi dan juga dalam pergelutan untuk menuntut hak penduduk Gatco. Semua fakta tersebut tidak dapat dinafikan.

Mahatma Ghandi pernah berkata: “Many people, especially ignorant people, want to punish you for speaking the truth, for being correct, for being you. Never apologize for being correct, or for being years ahead of your time. If you’re right and you know it, speak your mind. Speak your mind. Even if you are a minority of one, the truth is still the truth”.

Maka saya terpanggil untuk menceritakan apa yang berlaku (kronologi), agar umum mengetahui dan memahami isu tanah Gatco ini.

Sejarah Gatco

Kerajaan Negeri telah tubuhkan Perbadanan Kemajuan Negeri, Negeri Sembilan (PKNNS) sebagai agensi pelaksana dasar-dasar Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan pada tahun Mac 1969. Seterusnya, Kerajaan Negeri telah mengurniakan tanah kepada PKNNS dengan pajakkan selama 99 tahun .

Maka, perancangan PKNNS pada tahun 1971 adalah untuk menubuhkan anak Syarikat PKNNS iaitu Syarikat Gula NS bagi melaksanakan program pengeluaran gula di Negeri Sembilan. Jesteru itu, PKNNS memberikan atau memperuntukkan 25,000  ekar tanah kepada Syarikat Gula NS Sdn Bhd untuk tanaman tebu.

Pada masa itu, apabila bekalan tebu tidak mencukupi maka Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Ladang (National Union of Plantation Workers – NUPW) mengambil inisiatif untuk mendapatkan 10,000  ekar tanah dari Kerajaan Negeri dan seterusnya menubuhkan suatu syarikat yang dikenali sebagai syarikat Gatco. Tanah Gatco pada asal untuk tanaman tebu dan tujuannya adalah untuk menyokong pembekalan tebu dari tanah seluas 10,000 ekar ini kepada Syarikat NS Gula Sdn Bhd.

Syarikat NS gula tersebut memerlukan bekalan tebu untuk kilang tebu yang dibina. Tetapi, rancangan tersebut telah gagal dan NS Gula Sdn Bhd telah menjadi bankrap. Syarikat NS Gula Sdn Bhd tidak dapat diselamatkan lagi. Maka, Kerajaan Negeri pada masa itu telah mengambil semula keseluruhan tanah tersebut dan berikan pajakkan kepada PKNNS

Sejarah ‘The Great Allonioners Trading Corporation Berhad’ ataupun GATCO bermula pada tahun 1977, apabila  PKNNS memberikan pajakan kecil kepada GATCO untuk 66 tahun . Pada tahun 1979, perniagaan syarikat GATCO terjejas akibat penutupan Syarikat Gula Negeri Sembilan Berhad.

“Selepas itu, Mantan Menteri Besar Negeri Sembilan pada masa itu, YAB Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr.Rais Yatim(1978-1982) telah membuat ‘write off’ projek penanaman tebu tersebut. Akibatnya, GATCO telah memohon untuk menukar syarat tanah daripada tanaman tebu kepada tanaman getah atau kelapa sawit.

Maka, PKNNS telah meluluskan tanah seluas 5,000 ekar semula kepada Gatco dan baki 5,000 ekar telah diambil semula oleh PKNNS”.

GATCO adalah sebuah syarikat yang dikenali “The Great Alonioners Trading Corporation Sdn Bhd” yang telah diperbadankan pada tahun 1977 oleh NUPW. Matlamat asal perancangan ini adalah untuk membangunkan kawasan ini sebagai suatu kawasan penempatan dengan penduduk sama seperti skim Felda.

Ini adalah hasil usaha perbincangan di antara Setiausaha Agong NUPW ketika itu, PP Narayanan dan mantan Menteri Besar Negeri Sembilan ketika itu, YAB Dato Mansor Othman (1969-1978).

Di mana daripada 5,000 ekar tersebut sejumlah 1,000 ekar adalah untuk dibangunkan dengan perumahan untuk 420 keluarga termasuklah kemudahan awam seperti masjid, kuil, kedai, padang, sekolah dan lain-lain fasiliti. Baki anggaran 3,934 ekar adalah untuk penanaman pokok getah.

(Bersambung esok)

YB Veerapan Superamaniam

Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan

ADUN Repah

16 Disember 2020

 

Foto: Nabil Syafiq

Show More

Related Articles

Back to top button