Berita

VEERAPAN: Semoga kita hidup dalam kedamaian dan harmoni

Hari Raya Aidiladha kali ini disambut dalam keadaan yang mencabar oleh kerana kita sedang menempuh fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0), dalam usaha kita memerangi wabak Covid-19.

Sambutan ini sudah tentu akan dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan, walaupun pada masa yang sama pandemik Covid-19 sedang mengancam kehidupan normal kita.

Saya cukup bimbang apabila varian baru telah mula dikesan di negara kita. Seluruh sistem kesihatan negara kita yang sedang berada dalam keadaan yang kritikal pada masa ini dan mungkin akan menjadi lumpuh.

Hospital-hospital di negara kita telah hampir mencapai kapasiti maksimum. Katil-katil wad ICU semakin penuh.

Kita boleh menambah jumlah katil, bekalan oksigen dan ventilator. Tetapi jika kes-kes positif naik dengan mendadak, sebanyak mana katil dan lain-lain kelengkapan perubatan yang disediakan pun, tidak akan mampu menampung jumlah pesakit yang kian bertambah setiap hari.

Orang ramai perlu tingkatkan disiplin patuhi SOP

Covid-19 akan menjadi lemah jika kita dapat putuskan rantaiannya. Bagaimana nak putuskan rantaian? Elakkan berada di tempat yang sesak. Elakkan perkumpulan beramai-ramai. Jaga jarak fizikal anda dengan orang lain. Jangan duduk dekat-dekat. Sentiasa pakai pelitup muka. Sentiasa bersihkan tangan. Sentiasa jaga kebersihan diri. Jika tiada urusan penting di luar rumah, duduk sajalah di rumah. Stay at home.

Orang ramai perlu tingkatkan disiplin diri, patuhilah SOP pada setiap masa. Duduklah di rumah. Kita hidup di zaman pandemik. Samalah seperti kita hidup di zaman perang. Kita mesti mencari perlindungan di setiap masa untuk menyelamatkan nyawa, dan perlindungan yang terbaik ialah duduk di rumah kita sendiri. Anggaplah ini sebagai suatu pengorbanan untuk kita bersama-sama melawan pandemik ini.

Semoga ‘frontliners’ diberikan ketabahan dan kesihatan yang baik

Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada para petugas barisan hadapan atas khidmat bakti, penat lelah serta pengorbanan anda semua siang dan malam bertugas untuk memastikan kesejahteraan dan keselamatan kita semua.

Saya doakan semoga anda semua diberikan ketabahan dalam menjalankan tugas dan sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik.

Seterusnya, hari ini juga membuktikan prinsip dan amalan beragama sentiasa dihormati dan dihayati seluruh rakyat Malaysia.

Semoga kita semua terus hidup bersama-sama dalam kedamaian dan harmoni.

Selamat Hari Raya Aidiladha

YB Veerapan Superamaniam,
Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan,
ADUN Repah,
Ahli Jawatankuasa DAP Negeri Sembilan.

20 Julai 2021

Show More

Related Articles

Back to top button